Bernama - Tidak lagi berjemur, TM bantu dua beradik belajar di rumah
SHAH ALAM, 29 Jan — Dua beradik, murid Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau, Seksyen 31 di sini akhirnya menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi berjemur untuk mencari capaian internet di luar rumah bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), sejak sesi persekolahan bermula minggu lepas.
Senyuman kelihatan terukir pada wajah Muhammad Hazmi Mirza Umi Azilani, 12, dan adiknya Dhiya Hannah Mirza Umi Azilani, 10, sejurus Telekom Malaysia (TM) selesai memasang kabel internet di kawasan rumah mereka, hari ini.
Ibu mereka, Haniza Abdul Majid, 38, berkata anak-anaknya terpaksa mengikuti sesi PdPR dengan ‘berjemur’ di luar rumah sejak bermulanya sesi persekolahan pada 20 Januari lepas kerana capaian internet di dalam rumah mereka, di Kampung Jalan Kebun lemah.
“Muhammad Hazmi Mirza dan Dhiya Hannah Mirza menghabiskan masa antara tiga hingga empat jam setiap hari persekolahan bermula pukul 9 pagi sehingga 12 tengah hari dengan berada di luar rumah untuk mengikuti PdPDR.
“Capaian internet dalam rumah amat tidak memuaskan. Saya hanya boleh menghantar pesanan melalui WhatsApp sahaja.
Sebarang interaksi melalui video atau kandungan yang besar boleh dibuka apabila berada di luar rumah termasuk sesi PdPR menggunakan aplikasi seperti Google Meet atau Zoom,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, hari ini.
Bagaimanapun, Haniza menzahirkan rasa syukur apabila TM bersetuju memasang kabel internet di rumahnya selepas gambarnya menemani Dhiya Hannah Mirza belajar di luar rumah tular di media sosial sejak Rabu lepas.
“Pihak TM datang ke rumah saya semalam bertanyakan masalah dihadapi dan bersetuju untuk membantu. Mereka datang memasang kabel pukul 9 pagi tadi dan dijangka pada Sabtu atau Ahad, saya akan dapat capaian internet di dalam rumah.
“Sebelum ini, saya merupakan pelanggan internet TM tetapi disebabkan capaian yang teruk dan sering terputus, saya ambil keputusan untuk tamatkan langganan. Saya diberitahu oleh kontraktor TM dahulu yang kawasan rumah saya ini ada masalah capaian internet,” katanya.
Katanya, dengan capaian internet yang baik di dalam rumahnya untuk kegunaan anak-anaknya sepanjang PdPR nanti, beliau boleh menumpukan sepenuh perhatian menjaga ibunya, Limidah Haton, 74, yang terlantar hampir setahun lalu, akibat menghidap penyakit angin ahmar.