Pahang Media - Penduduk Pulau Tioman Bakal Nikmati Internet Kelajuan Tinggi
17 Jul 2021 - Pahang Media.my
KUANTAN, 17 JULAI 2021: Penduduk di Kampung Paya, Kampung Genting, Kampung Juara dan Kampung Salang di Pulau Tioman akan dapat menikmati kemudahan internet jalur lebar tetap berkelajuan tinggi mulai tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku keempat 2021 melibatkan kerja-kerja sivil seperti pemasangan kabel gentian optik sejauh lebih 40 kilometer di seluruh Pulau Tioman.
Katanya lagi, perkhidmatan jalur lebar tetap yang dilaksanakan ini akan menggunakan kemudahan tersedia daripada Projek Fiber Optik Dasar Laut sejauh 74 kilometer yang menghubungkan Kuala Rompin dengan Kampung Tekek di Pulau Tioman dan telah siap sepenuhnya pada pertengahan tahun lepas.
Selain itu, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan bersama oleh MCMC dan Kerajaan Pahang, sebanyak 16 menara telekomunikasi baharu telah dirancang untuk dibina di Dewan Negeri Tioman di mana pembinaan akan bermula pada Suku keempat 2021 dan dijangka siap sepenuhnya sebelum pertengahan tahun 2022.
“Pada masa yang sama, usaha tambah baik kualiti liputan jalur lebar mudah alih juga turut dijalankan di mana sebanyak 35 stesen pemancar sedia ada di dalam Dewan Negeri Tioman termasuk lapan di Pulau Tioman akan dinaik taraf dari rangkaian 2G/3G ke rangkaian 4G yang lebih baik, “katanya hari ini.
Jelas beliau lagi, bagi perkhidmatan jalur lebar tetap, selain daripada pelaksanaan projek di empat kampung yang telah dibincangkan, sebanyak 2,298 premis di dalam Dewan Negeri Tioman sedang dinaik taraf dari rangkaian internet berasaskan tembaga ke rangkaian berasaskan gentian optik bagi capaian jalur lebar yang lebih laju dan stabil.
Sebelum itu, beliau bersama Ahli Dewan Negeri Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang telah diberi taklimat pelaksanaan kesemua projek ini oleh wakil agensi pelaksana Telekom Malaysia yang dikawal selia oleh MCMC Negeri Pahang semalam.
Sementara itu, beliau berkata YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa mengambil berat dan memudahkan usaha semua pihak terlibat dalam melaksanakan kerja-kerja pembangunan telekomunikasi dan internet di pulau peranginan terkenal negara ini termasuk diseluruh negeri Pahang juga.