Utusan Borneo - Kelajuan internet 750 pejabat kerajaan dinaik taraf

05 Apr 2021 - Utusan Borneo


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Sabah Net Sdn. Bhd. dalam usaha menaik taraf kelajuan internet di 750 pejabat-pejabat kerajaan kepada kelajuan sekurang-kurangnya 30mbps.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan berkata, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri juga akan memasang dan menaik taraf infrastruktur rangkaian setempat 'Local Area Network' (LAN) di 10 pejabat atau bangunan kerajaan setiap tahun.

Katanya, usaha itu dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 yang meletakkan fokus utama untuk 'Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau'.

Menurutnya, dengan adanya usaha itu, ia dijangka dapat meningkatkan kualiti dan prestasi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

"Diakui keadaan infrastruktur pembangunan dari segi saling hubungan di negeri Sabah termasuk jaringan internet agak daif dan ketinggalan, jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

"Bagaimanapun, kementerian tidak akan menjadikan ini sebagai alasan untuk tetap terperangkap dalam kemiskinan digital," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Bagi Tahun 2021 di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri turut berperanan dalam menyediakan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berkapasiti tinggi serta perisian dan aplikasi pengkomputeran awan.

Selain itu jelasnya, pembinaan sistem yang mesra turut dilaksanakan untuk memudahkan tugasan seharian penjawat awam di negeri ini.

Menurutnya, menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), infrastruktur komunikasi dinaik taraf melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan menggunakan pelbagai teknologi hasil kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran dan berpengetahuan, kementerian dengan kerjasama Pusat Sains Negara dan Perpustakaan Negeri Sabah akan menubuhkan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Bangunan Perpustakaan Negeri yang dikenal pasti secara berfasa.

"Pusat STI ini akan menjadi satu platform pembelajaran secara tidak formal di mana pelajar boleh menerapkan ilmu secara 'hands-on, minds-on dan heart-on' dalam kehidupan seharian," jelasnya.

Katanya, Perpustakaan Negeri Sabah juga akan meluaskan rangkaiannya dengan pembinaan tiga buah perpustakaan baharu di daerah di Kunak, Tenom dan Kota Marudu, serta tiga Perpustakaan Desa di Kampung Lubok Darat Sipitang, Kampung Karakit Banggi dan Kampung Entilibon Tongod.

Dalam pada itu, beliau juga meletakkan harapan untuk memartabatkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai elemen penting di peringkat sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurutnya, langkah itu bukan hanya dapat memberi pendedahan awal berhubung STEM kepada golongan muda, malah ia juga dapat membantu negeri Sabah dalam menjayakan pelan pembangunan SMJ 2021-2025.


 

Legal Disclaimer / Privacy Policy / Security Policy
Copyright © 2020 Malaysian Communications and Multimedia Commission. All rights reserved.