Utusan Borneo - Menara telekomunikasi dalam pembinaan di enam tempat di Daro
10 Mac 2021 - Utusan Borneo
DARO: Kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi kini sedang giat dijalankan di enam kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, enam kawasan tersebut ialah Nanga Semah dan Sungai Serban di Daro, Nanga Singat dan Nanga Lassa (Sibu), Sungai Passin dan Kampung Sawai (Matu).
“Diharap dengan terbinanya menara telekomunikasi ini akan menambah baik perhubungan telefon dan internet di kawasan luar bandar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau memohon agar kerajaan berusaha memastikan pemasangan perkhidmatan rangkaian oleh syarikat telekomunikasi dapat disegerakan selepas pembinaan menara telekomunikasi siap dilaksanakan.
“Perkara tersebut penting supaya perkhidmatan ini dapat terus dinikmati oleh rakyat khususnya penduduk di luar bandar,” ujarnya.
Safiee turut memberitahu, kebanyakan kawasan tersebut mempunyai penduduk yang padat, terdapat sekolah rendah dan klinik kesihatan.
“Enam menara telekomunikasi sedang dalam pembinaan dan beberapa lagi telah dirancang akan dibina di tempat-tempat yang telah dikenalpasti.