Utusan Borneo - Vandalisme dan kecurian antara punca gangguan perkhidmatan telekomunikasi
27 Jul 2021 - Utusan Borneo
PULAU BRUIT, Daro: Antara punca gangguan liputan Internet adalah disebabkan vandalisme dan kecurian peralatan seperti kabel tembaga, bateri, besi menara dan generator di dalam kabin menara telekomunikasi.
Ini adalah maklumat yang diperolehi Ahli Dewan Undangan Negeri Semop Abdullah Saidol daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sacofa.
Liputan Internet juga terjejas disebabkan gangguan bekalan elektrik.
Beliau sering menerima aduan daripada warga kawasannya yang membangkitkan keresahan mereka apabila timbul isu liputan Internet dan telefon tidak memuaskan.
“Saya memohon kepada masyarakat desa atau rumah panjang supaya sentiasa peka dan memantau kegiatan mereka yang mencurigakan dan segera melapor jika mengesyaki mereka mungkin terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang (vandalisme dan mencuri),” katanya pada Program Community Engagement di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong di sini, pada Isnin (26 Julai).
SKMM juga memaklumkan kepadanya, pada 2020, sebanyak 138 kes vandalisme atau kecurian dilaporkan, manakala 18 kes sepanjang enam bulan pertama 2021 di seluruh Sarawak.
“Kebanyakan kes vandalisme atau kecurian yang mengakibatkan kerosakan kabin peralatan telekomunikasi berlaku di pinggir bandar dan luar bandar membabitkan menara telekomunikasi berada di kawasan yang agak terpencil,” katanya.
Abdullah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) berkata perbuatan sebegini bukan sahaja menyebabkan gangguan perkhidmatan komunikasi tetapi juga mengakibatkan syarikat telekomunikasi kerugian dalam jutaan ringgit.
“Bila gangguan telekomunikasi berlaku disebabkan kerosakan peralatan, proses untuk membaiki akan mengambil masa dan sudah tentu keadaan ini akan memberi kesan bukan sahaja kepada pelajar yang memerlukan Internet tetapi turut menganggu perkhidmatan kecemasan seperti ambulans, hospital dan polis,” ujarnya.
Mengenai Program Community Engagement anjuran Pejabat Daerah Daro itu, objektif utama ialah berkongsi pelbagai maklumat terutama berkaitan dengan program vaksinasi dan status pembangunan dalam kawasan DUN Semop terutama berkisar dengan Pulau Bruit.
Residen Mukah, Hamdiah Bakir dalam ucapannya berkata program vaksinasi di Pulau Bruit sangat memuaskan.
Dalam masa sama, beliau meminta ketua masyarakat sentiasa memastikan anak buah masing-masing mematuhi garis panduan (SOP) berkaitan pencegahan COVID-19 yang disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Pegawai dari Unit Komunikasi Awam Sarawak, Jabatan Ketua Menteri pula memberi penerangan tentang inisiatif dan bantuan kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban rakyat.
Bagi mematuhi SOP, hanya Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum serta Kaunselor Majlis Daerah serta wakil agensi berkaitan dijemput ke program tersebut.
Hadir sama, Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli, Jurutera Daerah Matu-Daro Awang Dasuki Awang Dol dan wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Daro Inspektor Annuar Affendi.