Utusan Borneo - Liputan Internet perlu sokongan syarikat telekomunikasi

30 Jun 2021 - Utusan Borneo


KUCHING: Pembinaan menara telekomunikasi sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah liputan internet jika syarikat telekomunikasi enggan menyediakan perkhidmatan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Shafiee Ahmad.

Mengulas mengenai kesukaran pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Kampung Sawai, Matu, beliau berkata untuk mewujudkan liputan Internet, syarikat telekomunikasi perlu memasang alat pemancar.

"Cadangan kerajaan negeri menubuhkan syarikat telekomunikasi sendiri amat disambut baik kerana kita percaya ia dapat menyelesaikan isu liputan Internet di luar bandar Sarawak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan media, tiga pelajar di Kampung Sawai, Matu terpaksa mengikuti PdPR di dalam bot dalam keadaan hujan lebat di Sungai Sawai, demi mendapatkan liputan internet, baru-baru ini.

Menurutnya, isu liputan Internet lemah bukan suatu yang baharu malah usaha untuk menyediakan infrastruktur komunikasi di Sawai sudah bermula sejak lima tahun lalu.

"Kerajaan negeri menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) telah memulakan kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Sawai, Matu sedang giat dilaksanakan sejak Mac tahun ini dan bakal siap tidak lama lagi.

"Selain itu di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) lima menara telekomunikasi akan didirikan di Daro iaitu di tapak-tapak sudah dikenal pasti iaitu Kampung Parit Badong, Kampung Lemang Pek, Feri Daro, Kampung Muara Sawai dan Rumah Nyiat," jelasnya.

Shafiee berkata projek berkenaan katanya masih di peringkat penilaian dan tender dijangka dikeluarkan pada Julai atau Ogos tahun ini, manakala kerja-kerja am seperti pembersihan tapak serta integrasi rangkaian lazimnya mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan.

Shafiee juga memberitahu SKMM menyediakan Akses Jalur Lebar Tanpa Wayar (WiFi Awam menerusi Internet) sebagai penyelesaian interim sementara kawasan-kawasan tersebut (Kampung Parit Badong, Kampung Lemang Pek, Feri Daro, Kampung Muara Sawai dan Rumah Nyiat) mendapat liputan telepon mudah alih lebih baik.

Beliau memberitahu bagi projek Akses Jalur Lebar Tanpa Wayar itu, pengeluaran tender dijangka pada Julai atau Ogos tahun ini dan akan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk siap.

"Bagi projek ini tapak-tapak yang sudah dikenal pasti ialah Nanga Semah dan Kampung Muara Sawai. Kedua-dua tempat ini terletak jauh di ulu dan hanya dapat dihubungi melalui jalan air.

"Isu ini telah saya bangkit di persidangan DUN sejak 2016 lagi dan sejak itu juga permohonan demi permohonan saya ajukan. Syukur sekarang penyediaan menara-menara telekomunikasi telah mula dilaksanakan oleh SMA dan SKMM sekarang," ujarnya.


 

Legal Disclaimer / Privacy Policy / Security Policy
Copyright © 2020 Malaysian Communications and Multimedia Commission. All rights reserved.