Bernama - Pengunaan teknologi digital dalam kalangan perniagaan kekal terhad di Malaysia

12 Aug 2021 - Bernama


KUALA LUMPUR, 12 Ogos -- Penggunaan digital oleh perniagaan di Malaysia telah meningkat sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, namun penggunaan teknologinya masih kekal terhad, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia 2021, OECD menjelaskan penggunaan digital oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah lebih rendah berbanding dengan firma besar, walaupun telah dipercepat semasa tempoh pandemik.

Ia berpandangan, oleh yang demikian, penting untuk mencapai tahap digitalisasi lebih tinggi dalam beberapa tahun akan datang.

Sejumlah PKS, terutama yang bersaiz mikro, tidak menggunakan komputer dan Internet. Kebanyakan PKS melaksanakan  transaksi menerusi e-dagang, yang menjadi halangan besar kepada mereka semasa tempoh sekatan pergerakan.

Memandangkan sejumlah syarikat baru mula menggunakan alat digital, penerimaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di tengah-tengah pandemik adalah tepat pada masanya, “ jelasnya.

OECD menambah, PKS, khususnya yang bersaiz mikro, perlu terus disokong ke arah pendigitalan manakala pekerja PKS boleh memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran digital masing-masing.

Ia berpandangan, penyertaan PKS dalam transaksi e-dagang perlu digalakkan lagi di Malaysia terutama dalam aktiviti perniagaan-kepada-pengguna (B2C) yang menyediakan banyak ruang untuk berkembang.

Laporan itu juga mendapati ketika Malaysia mencapai prestasi tinggi dari segi penembusan perkhidmatan jalur lebar dan harga perkhidmatan komunikasi digital menurun baru-baru ini, namun ia agak ketinggalan di belakang jalur lebar tetap.

Justeru, dalam situasi pandemik COVID-19, kerajaan telah mempertingkatkan usaha untuk menambah baik infrastruktur rangkaian digital menerusi pelancaran Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), menyasarkan 83 peratus liputan jalur lebar tetap dengan kelajuan gigabit pada 2022.

Pembaharuan seterusnya dalam pasaran jalur lebar tetap boleh menyediakan kualiti lebih tinggi dan perkhidmatan lebih mampu milik bagi perniagaan dan pengguna.

Seiring dengan liberalisasi perdagangan selanjutnya, terutama dalam sektor perkhidmatan, usaha ini akan membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka melangkaui sempadan antarabangsa, “ menurut OECD.


 

Legal Disclaimer / Privacy Policy / Security Policy
Copyright © 2020 Malaysian Communications and Multimedia Commission. All rights reserved.