Kosmo - Internet berkelajuan tinggi di Pulau Tioman tahun hadapan
ROMPIN – Penduduk dan pelancong di Pulau Tioman akan menikmati internet berkelajuan tinggi bermula pertengahan tahun hadapan apabila usaha menambahbaik liputan jalur lebar di pulau peranginan itu giat dilakukan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Arif berkata, kerja-kerja dijangka bermula pada suku ke empat tahun ini yang melibatkan kerja-kerja sivil seperti pemasangan kabel gentian optik sejauh lebih 40 kilometer di seluruh Pulau Tioman.
“Perkhidmatan jalur lebar tetap yang dilaksanakan ini akan menggunakan kemudahan tersedia daripada projek fiber optik dasar laut sejauh 74 kilometer yang menghubungkan Kuala Rompin dengan Kampung Tekek di Pulau Tioman yang telah siap sepenuhnya pada pertengahan tahun lepas.
“Selain daripada itu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kerajaan negeri sebanyak 16 menara baharu dirancang dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang mana pembinaan akan bermula pada suku ke-empat tahun ini.
Dalam pada itu beliau berkata, pada masa sama usaha menambah baik kualiti liputan jalur lebar mudah alih juga turut dijalankan menyaksikan sebanyak 35 stesen pemancar sedia ada di DUN Tioman akan dinaik taraf daripada rangkaian 2G/3G ke rangkaian 4G yang lebih baik.
Katanya, bagi perkhidmatan jalur lebar tetap, sebanyak 2,298 premis di dalam DN Tioman sedang dinaik taraf dari rangkaian internet berasaskan tembaga ke rangkaian berasaskan gentian optik bagi capaian jalur lebar yang lebih laju dan stabil.
“Saya amat bersyukur dengan segala usaha yang dilakukan semua pihak terlibat termasuk Kerajaan Negeri Pahang, MCMC, Majlis Daerah Rompin, Lembaga Pembangunan Tioman dan Telekom Malaysia dalam meningkatkan lagi telekomunikasi dan pencapaian internet di Pulau Tioman.
“Malah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa mengambil berat dan memudahkan usaha semua pihak terlibat dalam melaksanakan kerja-kerja pembangunan telekomunikasi dan internet di pulau peranginan terkenal negara ini termasuk diseluruh negeri Pahang,”ujarnya.