Pahang Media - Perkhidmatan Internet Lebih Baik Untuk 91 Kampung Orang Asli Di Seluruh Pahang
10 Aug 2021 - Pahang Media.my
KUANTAN, 10 OGOS 2021: Sebanyak 91 perkampungan Orang Asli di seluruh negeri ini akan mendapat perkhidmatan internet jalur lebar lebih baik (4G) melalui inisiatif di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijalankan secara bersama antara Kerajaan Pahang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebanyak 69 perkampungan Orang Asli akan mula mendapat mendapat perkhidmatan internet ini pada penghujung tahun ini manakala 22 buah lagi akan mendapat perkhidmatan tersebut sebelum pertengahan tahun 2022.
Pelaksanaan internet jalur lebar di Kampung Orang Asli ini melalui dua peringkat pelaksanaan iaitu menggunakan jalur lebar satelit di 69 buah kampung manakala pembinaan menara baharu di 22 buah kampung, “ katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, fasa pertama JENDELA akan dilaksanakan dalam tempoh 2020 sehingga 2022 yang akan meluaskan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk serta akan memberikan perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang lebih baik.
Beliau berkata, fasa pertama JENDELA akan dilaksanakan dalam tempoh 2020 sehingga 2022 yang akan meluaskan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk serta akan memberikan perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang lebih baik.
"Untuk makluman, sebanyak 270 menara baharu dengan liputan 4G akan dibina di seluruh Negeri Pahang dimana 26 siap beroperasi manakala 244 lagi sedang dalam pembinaan bermula September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2022 nanti.
“Kerajaan Pahang terus komited mempertingkatkan pencapaian internet di negeri ini. Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang semakin mencabar ini, kesalinghubungan dalam dunia digital menjadi teras utama semua aspek pembangunan malah merupakan sebahagian daripada norma baharu kehidupan kita hari ini, “ katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Orang Asli Landai, Pekan, Mat Kuang Ani menyambut baik langkah ini kerana dengan terbinanya menara-menara telekomunikasi itu, masyarakat Orang Asli tidak lagi terpinggir dari dunia luar.
“Kami boleh mendapat maklumat terkini, memperoleh ilmu pengetahuan, menjalankan urusan dengan kerajaan dan menjalankan perniagaan dalam talian sama seperti mereka yang tinggal di bandar,” tambahnya.