MCMC anjur makmal rangka perancangan perkhidmatan jalur lebar lebih berkualiti
PUTRAJAYA, 9 Julai -- Kerajaan akan mengadakan Makmal Infrastrukur Digital Negara (Makmal) untuk menetapkan semula sasaran berkaitan pembangunan infrastruktur digital negara serta merangka perancangan yang lebih teratur dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata Makmal yang dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu akan dibuat secara bersiri bermula 13 Julai hingga 14 Ogos.
Antara objektif Makmal ialah pemetaan menyeluruh bagi infrastruktur komunikasi negara, perancangan bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar serta langkah-langkah mengoptimumkan sumber seperti spektrum dan gentian optik bagi menambah baik kesalinghubungan digital negara, katanya.
Beliau berkata usaha tersebut dibuat susulan wabak COVID-19 dan pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan bahawa kesalinghubungan digital negara perlu dipertingkat secara menyeluruh pada kadar segera.
"Penyertaan pihak industri untuk sesi makmal ini telah dikenal pasti berdasarkan beberapa kriteria penting iaitu jumlah pelanggan yang tinggi (lebih 10 peratus daripada pasaran mudah alih, atau lebih lima peratus daripada pasaran talian tetap)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihak industri yang akan terlibat dalam Makmal itu juga adalah mereka yang mempunyai liputan perkhidmatan sedia ada selain telah melabur dalam infrastruktur digital yang berkaitan dan mengendali rangkaian hujung-ke-hujung, kesalinghubungan antarabangsa dan juga kecekapan penggunaan spektrum dalam rangkaian perkhidmatan, katanya.
Wakil daripada kementerian dan agensi yang berkaitan juga akan dijemput untuk sesi tersebut, katanya.
Saifuddin berkata pendekatan itu penting bagi membolehkan MCMC merangka pelan tindakan yang komprehensif dan cepat supaya boleh dilaksanakan selaras dengan keperluan baharu.
"Saya sedia maklum terdapat ramai lagi para pelesen dan pemegang taruh lain yang boleh membantu mengenal pasti dan mengemukakan jalan penyelesaian bagi perkara ini. Oleh itu saya juga mengalu-alukan mereka untuk memajukan cadangan kepada MCMC," katanya.
Saifuddin yakin pendekatan baharu tersebut mampu menghasilkan sasaran yang positif bagi negara dari segi liputan, capaian jalur lebar dan kualiti perkhidmatan, serta pemudah cara yang lebih baik untuk manfaat rakyat.
"Untuk memastikan kejayaan usaha ini, saya akan memantau perkembangan Makmal ini dari semasa ke semasa," katanya.