134 lokasi baharu dibina menara telekomunikasi di Kedah
16 Nov 2021 - Utusan Online
ALOR SETAR: Sebanyak 134 lokasi baharu dibina menara telekomunikasi dengan teknologi 4G di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 (2020-2022) di seluruh negeri ini bermula September tahun lalu.
Pengerusi Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, sebanyak 45 buah lokasi daripada jumlah tersebut telah siap dibina menara telekomunikasi itu.
Tambahnya, sebanyak 76,474 buah premis pula disediakan akses kepada perkhidmatan berkelajuan gigabit dan sebanyak 49,998 buah premis siap dilaksanakan.
“Kerajaan negeri memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam perkara ini bagi membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar penyediaan infrastruktur digital dapat dimudahcara serta mengikut piawaian tertentu bagi memastikan aspirasi MyDigital dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tan Kok Yew (DAP-Derga) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Selain itu, katanya, sebanyak 1,612 buah stesen pemancar di struktur komunikasi sedia ada dinaik taraf kepada teknologi 4G dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,377 stesen pemancar dinaik taraf.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang telah menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi.
Katanya, dalam perkara ini, ketersediaan 5G telah dijadikan salah satu komponen utama bagi menyokong rancangan tersebut.
“Justeru, kerajaan mempercepat pelaksanaan 5G ke suku keempat 2021 berbanding perancangan asal pada tahun 2023.
“Kerajaan juga telah mengenal pasti keperluan spektrum yang berkaitan bagi membolehkan rangkaian ini dapat dibina dengan segera,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE