3,471 menara, struktur telekomunikasi telah dibina di Sarawak

22 Nov 2022 - Utusan Borneo


KUCHING: Sebanyak 3,471 menara dan struktur telekomunikasi sedia ada telah dibina di Sarawak setakat ini, dalam usaha meningkatkan pencapaian kemudahan Internet di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang berkata, daripada jumlah tersebut, sejumlah 3,186 menara sudah beroperasi manakala 285 menara dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun 2023.

“Kerajaan Sarawak menerusi projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) Fasa 1 dan Fasa 2 di bawah program Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) juga telah memperuntukkan sebanyak 600 menara yang akan didirikan di kawasan luar bandar di Sarawak.

“SMART Fasa 1 dijangka akan beroperasi pada suku kedua tahun 2023 manakala SMART Fasa 2 dijangka akan beroperasi menjelang penghujung tahun 2023,” katanya ketika menjawab soalan Awla Dris (GPS-Simunjan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Liwan menambah, dianggarkan sebanyak 7,000 menara dan struktur telekomunikasi diperlukan untuk memastikan liputan penuh telekomunikasi di seluruh Sarawak termasuk di kawasan luar bandar. 

Terdahulu, Awla bertanyakan mengenai usaha-usaha kerajaan meningkatkan pencapaian kemudahan Internet di kawasan luar bandar dengan merujuk kepada jumlah pencawang dan pembinaan menara telekomunikasi yang telah dibina. 

Mengulas lanjut Liwan berkata, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak 742 menara baharu di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang telah bermula pada awal tahun ini. 

“Setakat ini, 40 menara telah beroperasi. Manakala kerja pembinaan sivil di 68 lokasi menara telah berjaya disiapkan dan kini memasuki peringkat pemasangan peralatan pemancar dan sambungan elektrik. 

“Keseluruhan 742 menara baharu di bawah inisiatif JENDELA dijadual beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat tahun 2023,” katanya. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.