34 menara di bawah SMART, 11 di bawah JENDELA dibina atasi masalah liputan Internet di Engkilili

19 Mei 2022 - Utusan Borneo


KUCHING: Sebanyak 34 menara telekomunikasi telah dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili bagi mengatasi masalah komunikasi dan liputan Internet di kawasan terbabit.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 23 menara siap dibangunkan, manakala 11 lagi menara masih dalam peringkat pelaksanaan.

"Kesemua 34 menara telekomunikasi itu di bawah Pihak Berkuasa Multimedia Telekomunikasi Luar Bandar Sarawak (SMART) yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

"Sebanyak 23 menara siap, manakala 11 lagi sedang dalam pelaksanaan. Selain itu, 11 lagi menara sedang dalam peringkat pelaksanaan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC)," katanya semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa pada Persidangan DUN Ke-19, hari ini.

Tambah Liwan, kawasan Merindun dan Engkilili juga telah menikmati perkhidmatan MySRBN yang dilaksanakan SDEC. 

Sementara itu, Liwan memaklumkan sebanyak lapan kawasan telah menerima perkhidmatan JENDELA dan dua kawasan lagi menerima Saluran WIFI.

"Selain itu, sebanyak 11 kawasan telah dibina menara telekomunikasi di kawasan DUN Engkilili.  

“Antara kawasan yang menerima jalur lebar melalui satelit (perkhidmatan JENDELA) di kawasan Engkilili ialah Lubok Maluh, Hulu Akup, Rumah Mulok, Rumah Nanga Darai, Nanga Lalang dan Rumah Upok Lepong Kepayang.

“Selain itu Rumah Belisan Tembawai Tumpang Ulu Skrang dan Rumah Chunggat Pulau Skrang. Manakala, melalui Saluran WIFI adalah Kampung Stuga dan Blaie.  


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.