4 juta pengguna dijangka langgan 5G tahun depan

21 Okt 2022 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Kira-kira empat juta pengguna Malaysia dijangka melanggan 5G tahun depan disokong pengenalan lebih banyak aplikasi dan perkhidmatan inovatif.

Laporan Ericsson ConsumerLab bertajuk Called 5G: The Next Wave mendedahkan, ketersediaan pengguna 5G adalah tinggi di Malaysia, dengan 43 peratus bersedia melanggan 5G dengan 25 peratus daripada mereka sudah memiliki peranti yang menyokong teknologi berkenaan.

"Walaupun satu daripada setiap lima pengguna awal menjangkakan aplikasi yang inovatif, hampir dua kali mengharapkan liputan rangkaian yang kukuh.

"Sejumlah 87 peratus daripada pengguna 5G di Malaysia menganggap pengalaman 5G yang inovatif sebagai peranan penting dalam pelan jalur lebar mudah alih mereka.

"Operator perkhidmatan mudah alih perlu mencerminkan permintaan pengguna berbanding penawaran 5G, dengan beralih daripada usaha terbaik kepada kualiti pengalaman yang lebih baik dan pengalaman kandungan yang dipertingkatkan," katanya.

Dalam skala global pula, laporan Ericsson ConsumerLab menunjukkan sekurang-kurangnya 510 juta pengguna di 37 pasaran dijangka menggunakan teknologi 5G tahun depan.

Laporan itu menyebut, gelombang baharu pengguna 5G memiliki jangkaan tinggi terhadap prestasi 5G terutama membabitkan liputan rangkaian.

"Ketersediaan 5G yang dilihat muncul sebagai penanda aras kepuasan baharu di kalangan pengguna. Liputan geografi, liputan dalaman/luaran dan liputan hot-spot adalah lebih penting untuk membina persepsi pengguna berbanding liputan populasi.

Ericsson berkata, model kecairan modal 5G dijangka berkembang dengan enam daripada 10 pengguna menjangkakan tawaran 5G akan bergerak menjangkaui jumlah data dan kelajuan kepada keupayaan rangkaian yang disesuaikan atas permintaan untuk keperluan khusus.

"Teknologi 5G sedang meningkatkan penggunaan video dan Augmented Reality (AR). Sepanjang dua tahun lalu, masa yang dihabiskan untuk aplikasi AR oleh pengguna 5G telah meningkat dua kali ganda kepada dua jam seminggu," katanya.

Ketua Ericsson ConsumerLab, Jasmeet Singh Sethi berkata, skala penyelidikan memberi gambaran yang tulen tentang pandangan dan sikap pengguna terhadap 5G.

Katanya, laporan itu menunjukkan bahawa gelombang pengguna 5G berpotensi memiliki jangkaan yang berbeza terhadap teknologi berbanding pengguna awal.

"Secara keseluruhannya, pengguna melihat pembabitan dengan 5G sebagai bahagian penting dalam gaya hidup masa depan mereka.

"Adalah menarik untuk diperhatikan bahawa 5G muncul sebagai pemboleh ubah penting bagi pengguna awal untuk menerima perkhidmatan berkaitan metaverse, seperti bersosial, bermain dan membeli item digital dalam platform permainan maya 3D interaktif.

"Jumlah masa yang dibelanjakan untuk aplikasi AR oleh pengguna 5G juga meningkat dua kali ganda sejak dua tahun lalu, berbanding pengguna 4G," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.