56 menara telekomunikasi siap dibina atasi capaian internet lemah

23 Mac 2022 - Sinar Harian


ALOR SETAR - Sebanyak 56 daripada 146 buah menara telekomunikasi telah siap dibina di lokasi baharu bagi mengatasi masalah capaian internet yang lemah di Kedah.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim berkata, sebanyak 90 buah menara lagi dalam peringkat pelaksanaan dengan capaian teknologi 4G melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Menurutnya, 1,891 buah stesen pemancar di struktur komunikasi sedia ada turut dinaik taraf kepada teknologi 4G bagi memperluaskan liputan 4G dalam usaha meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih.

“Daripada jumlah tersebut, 1,631 buah stesen pemancar telah dinaik taraf manakala 260 buah stesen pemancar dalam proses.

“Kita juga akan menyediakan capaian jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi di 76,474 buah premis. Sehingga kini, 93,953 buah premis telah siap dilaksanakan dengan sambungan gentian optik, melebihi sasaran ditetapkan,” katanya pada sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Rabu.

Wan Romani berkata, kadar liputan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpendudukan adalah 97.81 peratus bagi suku keempat tahun lalu dan dijangka meningkat kepada 98.68 peratus menjelang penghujung tahun ini.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa beri tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi untuk membolehkan rakyat khususnya di luar bandar menikmati akses perkhidmatan jalur lebar lebih menyeluruh,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut membantu agar penyediaan infrastruktur digital dapat dipermudahkan mengikut piawaian tertentu bagi memastikan aspirasi Pelan Jendela dicapai.
 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.