5G, DNB kini harapan Sabah

26 Feb 2022 - Utusan


SABAH bukan sahaja terpisah dengan Semenanjung oleh Laut China Selatan, malah turut dipisahkan oleh jurang digital yang besar. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kualiti rangkaian 4G bagi bandar-bandar utama di Semenanjung seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru adalah sekitar 84 peratus berbanding hanya 44 peratus di kawasan pedalaman Sabah.

Penularan Covid-19 mendesak segala macam urusan dibuat secara dalam talian. Kisah Veveonah Mosibin dari Kampung Sapatalang, Pitas hanya satu daripada ribuan kisah kesukaran anak Sabah mendapatkan akses internet.

Kajian Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mendapati 52 peratus pelajar sekolah rendah dan menengah tidak mempunyai akses internet atau peranti mudah alih yang bersesuaian untuk mengikuti sesi pembelajaran dalam talian semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Masalah jurang digital berlaku disebabkan penyedia perkhidmatan internet (ISP) yang terlalu berorientasikan keuntungan. ISP lebih memfokuskan pembinaan infrastruktur jalur lebar di kawasan-kawasan komersial berbanding luar bandar. Rakyat Sabah terpaksa membayar harga sama untuk mendapatkan akses internet yang jauh lebih lemah berbanding penduduk di Semenanjung.

Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Persekutuan mewujudkan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk membangunkan spektrum 5G di seluruh negara. DNB diberikan autoriti sebagai rangkaian borong tunggal (SWN) dalam merevolusikan perkhidmatan internet.

Lesen eksklusif yang diberikan kepada DNB dilihat sebagai pilihan yang tepat berbanding sekiranya kerajaan membenarkan syarikat telekomunikasi untuk membida lesen spektrum 5G. Pembangunan spektrum 2G sehinggalah 4G yang dipelopori syarikat telekomunikasi menyebabkan jurang digital melebar berikutan tindakan ISP yang mengabaikan Sabah kerana terlalu obses mengisi poket masing-masing.

Semakan harga mendapati Maxis mengenakan bayaran antara RM35 hingga RM60 untuk perkhidmatan internet tanpa had dengan kelajuan jalur lebar antara 5Mbps dan 24Mbps. Digi pula mengecaj pengguna antara RM45 dan RM105 untuk data internet berkapasiti antara 25GB dan 100GB sebulan. Celcom menawarkan pakej internet bulanan antara RM38 hingga RM58 untuk kelajuan sehingga 6Mbps sahaja.

Disebabkan pembangunan fasiliti tidak seimbang, kebanyakan kawasan di Sabah hanya berupaya memperoleh kelajuan jalur lebar setakat 5Mbps meskipun mereka melanggan pelan paling mahal di pasaran.

Menjelang 2024, Indonesia akan memindahkan ibu negara mereka dari Jakarta ke Kalimantan Timur. Penganalisis ekonomi dari Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansur percaya kedatangan pelabur secara besar-besaran ke kepulauan Borneo perlu diambil peluang oleh Sabah. Sabah mesti hadir sebagai destinasi mesra pelabur dan lengkap dengan kemapanan ekonomi digital yang dikehendaki masa kini.

Ekonomi digital melibatkan segenap aspek urus tadbir kerajaan tempatan, perkhidmatan awam, penjanaan tenaga dan komuniti setempat. Tindakan memilih Kota Kinabalu untuk dibangunkan sebagai salah satu bandar pintar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) adalah tepat untuk membudayakan ekonomi digital.

Bagaimanapun, transformasi Kota Kinabalu sebagai bandar pintar memerlukan usaha menyeluruh melibatkan semua pemegang taruh termasuk Kerajaan Persekutuan dan DNB.

DNB sebagai pemain utama Jendela perlu membangunkan infrastruktur 5G secara lebih inklusif dan holistik. Alasan bentuk muka bumi Sabah tidak bersesuaian yang mangli digunapakai syarikat telekomunikasi sudah lapuk. Sabah tidak mahu ketinggalan dengan negara jiran sepertimana rakan-rakan di Semenanjung dan Singapura.

Tatacara bermasyarakat berevolusi dengan pantas seiring perkembangan teknologi. Urusan seharian seperti mesyuarat, memesan makanan dan pembayaran bil mula mengambil tempat dalam talian.

Baru-baru ini, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah melancarkan e-Jariah Sabah, aplikasi pertama dibangunkan dengan kerjasama TM One untuk memudahkan urusan pengguna tanpa perlu ke pejabat. Aplikasi seumpama ini akan terbatas sekiranya literasi digital masih rendah.

Di Kinabatangan, etnik Sungai terpaksa menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer untuk ke Kota Kinabalu bagi menjual hasil kraftangan mereka seperti tikar mengkuang, tudung saji dan gabbang kayu. Akses serta literasi internet yang rendah menyebabkan urusan jual beli dalam talian masih asing bagi sebilangan besar penduduk di pedalaman Sabah.

Pembinaan infrastruktur jalur lebar adalah keperluan yang mesti digerakkan seiring kefahaman masyarakat setempat terhadap internet. DNB harus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan termasuk kolej komuniti, GiatMara dan institut latihan perindustrian (ILP) di seluruh Sabah untuk menyediakan modul asas literasi internet khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Bagi menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disokong kesemua ahli Parlimen dari Sabah merentas identiti politik, Sabah memerlukan pembelaan setelah sekian lama dianaktirikan oleh syarikat telekomunikasi. Pelan Jendela yang diterajui DNB dilihat mengambil kira kepentingan Sabah. Namun, pelan ini tidak sewajarnya pegun di atas kertas tanpa diterjemahkan di bumi bertuah Sabah. Kerajaan Persekutuan perlu bertegas untuk kekal dengan DNB dalam membangunkan infrastruktur 5G dan tidak tunduk kepada desakan syarikat telekomunikasi yang sudah terbukti gagal.

Spektrum 5G dan DNB adalah harapan Sabah untuk membangun sebagai rakan kongsi Malaysia seperti yang diperjuangkan bapa-bapa kami, 59 tahun lalu. Semoga manfaat menggunung pembangunan 5G di Malaysia turut mengalir ke hulu dan dinikmati bersama warga Negeri di Bawah Bayu. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.