5G: MNO dijangka tandatangan SSA dengan DNB pada November ini - Fahmi

01 Nov 2023 - The Sun


KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dan Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) pada November ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (gambar).

Beliau berkata satu pertemuan bersama syarikat telekomunikasi diadakan pada pukul 2.30 petang tadi dan kata putus mengenai tarikh tandatangan telah dicapai -- kini hanya menunggu beberapa keputusan daripada lembaga pengarah syarikat telekomunikasi masing-masing.

“Bagi isu DNB, sukacita saya maklumkan, saya telah bertemu dengan pihak DNB dan juga syarikat telekomunikasi yang diwakili ketua pegawai eksekutif mereka pada pukul 2.30 petang tadi.

“Kita telah memberikan satu kata putus mengenai tarikh untuk tandatangan SSA yang kita harap dapat dilakukan dalam bulan ini insya-Allah, bergantung kepada beberapa keputusan yang perlu mereka rujuk pada lembaga pengarah masing-masing,” katanya di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

DNB kini ialah pemegang tunggal spektrum 5G Malaysia, ditetapkan untuk mencapai liputan 80 peratus menjelang akhir 2023.

Lima MNO iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd telah bersetuju untuk mengambil pegangan ekuiti dalam DNB bagi menyokong pembangunan rangkaian 5G negara.

DNB ditubuhkan pada awal Mac 2021 untuk mempercepat penggunaan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia.

Sementara itu, mengenai pengumuman lantikan jawatan ketua pegawai eksekutif DNB, Fahmi menyerahkan tanggungjawab itu untuk diuruskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Dari segi strukturnya perkara itu (lantikan CEO DNB) adalah di bawah MOF, jadi saya serah kepada MOF untuk uruskan,” katanya.

Beliau turut mengulangi komitmen bahawa perkhidmatan 5G di negara ini telah mencapai 70.2 peratus di kawasan berpenduduk sehingga 30 Sept, 2023 dan berada di landasan yang baik untuk mencapai kira-kira 80 peratus liputan menjelang penghujung 2023. -Bernama


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.