5G Malaysia guna sumber radio dinamik Ericsson

02 Mac 2022 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Rangkaian 5G Digital Nasional Bhd (DNB) akan menjadi rangkaian komersial pertama di dunia yang menggunakan Pembahagian Sumber Radio Dinamik (DRP) Ericsson, iaitu penyelesaian penghirisan (berbilang rangkaian pada satu infrastruktur) Rangkaian Akses Radio (RAN).

DRP membolehkan enam pengendali rangkaian mudah alih untuk menyampaikan perkhidmatan 5G tersuai dengan prestasi terjamin, memastikan perkongsian sumber spektrum terkonfigurasi dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) menggunakan rangkaian 5G DNB, kata Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro.

"Inovasi ini juga membolehkan setiap MNO membezakan tawarannya kepada pengguna pada rangkaian 5G yang dikongsi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ericsson, penghirisan rangkaian ialah ciri utama pelaksanaan 5G, sambil menambah bahawa penghirisan RAN mengoptimumkan sumber radio dan mengukuhkan keupayaan penghirisan hujung ke hujung untuk pengurusan sumber yang lebih baik.

"Ini memastikan penyampaian perkhidmatan yang pantas dan cekap serta pengalaman pengguna berkualiti tinggi yang diperlukan oleh pelbagai kes penggunaan.

"Setiap pengendali rangkaian mudah alih yang berkongsi rangkaian DNB mempunyai akses kepada aset spektrum penuh untuk mencapai kelajuan terbaik, sambil pada masa yang sama memastikan spektrum terkumpul digunakan dengan cekap dan dimaksimumkan dalam kalangan semua pengendali rangkaian mudah alih yang lain," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.