5G RAHMAH: RAKYAT SABAH TERUJA, PERLU KOMITMEN KELAJUAN INTERNET DARI TELCO
KOTA KINABALU, 29 Ogos (Bernama) - Kemudahan Pakej 5G RAHMAH membolehkan penduduk Sabah yang layak untuk mendapatkan telefon pintar yang berkualiti pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Namun dalam pada masa sama, mereka berpendapat syarikat telekomunikasi (telco) yang terlibat juga perlu menyatakan komitmen kelajuan Internet minima yang boleh disediakan mereka untuk pelanggan.
Juruteknik enjin kapal, Muhaidie Md Sain,29, berkata telefon pintar seperti Samsung A14 5G dan mempunyai harga pasaran RM949 namun ditawarkan dengan harga RM240 menerusi pakej itu adalah cukup murah.
"Cukup murah (telefon pintar) itu dan kita di Sabah mampu beli dengan harga itu tetapi pakej itu Telco hanya sebut RM60 sebulan dengan data minimum 60 gigabait (GB) itu. Tiada disebut kelajuan tidak berapa bagus kerana kita di Sabah ini ada masalah internet,"katanya dihubungi Bernama hari ini.
Pemandu e-hailling, Danny Agun Lasimbang, 47, berkata adalah lebih baik untuk Telco terlibat menyatakan komitmen kelajuan Internet dalam pakej masing-masing kerana ia telah dilakukan sejak sekian lama oleh penyedia Internet talian tetap seperti Telekom Malaysia (TM) dengan kemudahan internet unifi.
"Unifi berani nyatakan pakej mereka seperti RM89 sebulan dengan data tanpa had dan kelajuan 30Mbps... memang berbeza talian tetap dengan tanpa wayar ini tetapi ini suatu model wajar dicontohi telco talian tanpa wayar untuk berikan kemudahan Internet terbaik untuk rakyat," katanya.
Danny Agun, yang berasal dari Likas di sini, berpendapat telefon pintar jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G yang ditawarkan menerusi pakej itu mampu menyokong kemudahan internet berkualiti tinggi 5G.
Sementara itu, Pegawai Penerangan, Ramanshah Rudding, 34, dari Penampang dekat sini, berkata rebat RM10 sebulan menerusi insentif pascabayar RAHMAH Penjawat Awam merupakan suatu permulaan yang baik untuk membantu penjawat awam yang turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
"Setahun jimat RM120 ini baik tetapi janganlah terhenti setakat itu sahaja, perlu kembangkan mungkin perbanyakkan insentif Internet talian tetap di rumah yang boleh dinikmati seluruh keluarga seperti Pakej Perpaduan RM69 sebelum ini, ia lebih jimat berbanding langgan pascabayar untuk setiap ahli keluarga,"katanya.
Katanya, kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha untuk meningkatkan capaian Internet di Sabah antaranya Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan 4G mencapai 88 peratus kawasan berpenduduk sehingga Februari lalu, namun ia memerlukan kerjasama syarikat telco bagi memastikan kualiti Internet disampaikan kepada penduduk pada tahap terbaik.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Pakej 5G RAHMAH, yang akan ditawarkan untuk semua rakyat Malaysia bermula 31 Ogos ini hingga Disember ini.
Inisiatif itu akan menawarkan spesifikasi asas pelan data melibatkan telefon pintar berharga tidak melebihi RM240 berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60GB.
Selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, Fahmi turut mengumumkan Pakej 5G RAHMAH akan ditawarkan kepada 100,000 pelanggan terawal daripada golongan B40 dan mereka layak mendapat subsidi RM120 untuk telefon pintar.
Bagi insentif pascabayar RAHMAH Penjawat Awam pula, Fahmi berkata tawaran rebat itu adalah buat penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan serta tertakluk kepada terma dan syarat daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.
--BERNAMA