5G: Sasaran pelaksanaan 80 peratus menjelang penghujung 2023
20 Mac 2023 - Harian Metro
Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan ketersediaan rangkaian 5G di negara ini mencapai 54.7 peratus populasi di dalam kawasan berpenduduk, dengan sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun 2023.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, setakat Februari 2023, sebanyak 4,363 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara.
"Pelaksanaan 5G yang dikendalikan Digital Nasional Berhad (DNB) kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya pada sidang media berkaitan pencapaian Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Dewan Rakyat hari ini.
Hadir sama dalam sidang media, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamed Salim Fateh Din.
Fahmi berkata, dengan pencapaian internet di negara ini yang mencecah 97 peratus bagi kawasan berpenduduk, pihaknya akan meneruskan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan.
"Dengan melihat isu seperti kelompongan liputan bagi menambah baik Standard Kualiti dan Kualiti Pengalaman (QoS dan QoE) seperti di lebuh raya, dalam bangunan dan stadium," katanya.
Katanya, bagi liputan tiga peratus kawasan berpenduduk, akan menjadi fokus utama bagi Jendela Fasa 2 (2023-2025) termasuk ketersediaan sambungan gentian optik kepada sembilan juta premis di seluruh negara dapat dicapai pada penghujung tahun 2025.
"Segala usaha memperkasakan kesalinghubungan dalam negara juga akan membabitkan penggunaan teknologi digital masa depan bagi memastikan rakyat dapat terus menikmati gaya hidup digital dalam memudahkan urusan seharian mereka secara dalam talian," katanya.
Dalam sidang medianya juga, Fahmi mengumumkan inisiatif Jendela telah berjaya memenangi anugerah di persada antarabangsa, World Summit on the Information Society Prizes 2023 (WSIS Prizes 2023) bagi Kategori C2- Information and communication infrastructure: an essential foundation for an inclusive information society, anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Unesco, UNDP dan UNCTAD di Geneva, Switzerland pada 14 Mac lalu.