6.43juta premis dilengkapi akses gentian optik

17 Nov 2021 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Sebanyak 6.43 juta premis di seluruh negara disediakan dengan akses gentian optik hingga suku ketiga tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, ia penambahan sebanyak 1.48 juta premis daripada 4.95 juta pada suku ketiga tahun lalu sejak pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 bermula September 2020.

Katanya, kelajuan jalur lebar mudah alih pula meningkat daripada 25 megabit per saat (mgps) kepada 31.34 mgbps dan dijangka mencecah 35 mgbps.

"Perluasan liputan jalur lebar 4G meningkat daripada 91.8 peratus kepada 94.39 peratus di kawasan berpenduduk hingga suku tahun ketiga," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai status penganugerahan tender di bawah program JENDELA, Annuar berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah menyerahkan surat pelantikan Pemberi Perkhidmatan Sejagat dan surat niat bagi program JENDELA Fasa 1 kepada pemegang lesen berkenaan pada 27 Oktober lalu.

Beliau berkata, kerja pembinaan menara terbabit giat dilaksanakan dan dijangka siap secara berperingkat bermula pada suku keempat tahun 2022.

Bagaimanapun, katanya, kepantasan dan kemampuan pelaksanaan menara berkenaan bergantung kepada kelulusan dikeluarkan pihak tertentu seperti pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"SKMM akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan di peringkat negeri bagi mempermudahkan urusan pelaksanaan dan pembinaan menara itu," katanya.

Selain pembinaan menara telekomunikasi dan penyediaan akses internet melalui satelit, Annuar berkata, kerajaan akan melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP), hab gentian optik yang juga satu daripada alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluas ke kawasan berpenduduk.

"Sebanyak RM700 juta diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2022 adalah kepada projek PoP merangkumi 630 kawasan berhampiran sekolah luar bandar dan pedalaman serta 47 kawasan perindustrian di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

Menyentuh perluasan liputan telekomunikasi di Sabah dan Sarawak, Annuar berkata, peruntukan PoP bagi Sabah dan Sarawak berjumlah RM157 juta, merangkumi liputan bagi kawasan berpenduduk berhampiran 119 sekolah.

"Secara keseluruhan, Sabah dan Sarawak akan menerima peruntukan hampir RM2 bilion untuk pelaksanaan projek PoP ini membabitkan lebih 1,436 kawasan sekolah serta sekitarnya yang akan dilaksanakan dalam fasa 1 bermula 2022, manakala fasa 2 bermula 2023 hingga 2025," katanya. – BERNAMA


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.