95.5% penduduk Perak dapat liputan 4G
13 Dis 2021 - Malaysia Gazette
IPOH – Sebanyak 95.5 peratus penduduk telah mendapat liputan perkhidmatan 4G di seluruh negeri di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sehingga suku ketiga tahun ini berbanding 94.71 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, pelaksanaan JENDELA Fasa 1 bermula dari tahun 2020 sehingga 2022.
Menurutnya, sebanyak 37 stesen pemancar telah dirancang dan siap dinaiktaraf kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G dan sejumlah 3,083 premis daripada 8,597 premis telah tersedia dengan akses gentian optik bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkeupayaan Gigabit.
“Kesemua inisiatif ini akan siap secara berperingkat-peringkat menjelang penghujung tahun 2022.
“Sokongan serta kerjasama erat daripada kerajaan negeri dapat memastikan angka-angka atau sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dalam masa yang disasarkan demi untuk kebaikan dan keperluan rakyat,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya telah mengambil maklum isu kadar capaian kampung-kampung yangkemukakan dan akan terus berusaha membuat penilaian bagi menambah baik kualiti perkhidmatan sedia ada.
Khairul Shahril memberitahu, Kerajaan Perak telah berbincang dan bekerjasama dengan SKMM untuk merealisasikan setiap sasaran yang dirangka dalam JENDELA untuk tahun depan.
Khairul Shahril Mohamed berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menjadikan keperluan kemudahan infrastruktur komunikasi sebagai utiliti asas ketiga selepas air dan elektrik.
Tambah beliau, ia juga melibatkan menerima pakai Garis Panduan Perancangan Infrastruktur (GPP-I) komunikasi dalam setiap projek pembangunan yang dirancangkan mengikut kesesuaian yang akan diputuskan oleh kerajaan kegeri.
“Perkara lain yang dipertimbangkan ialah akan mempermudahkan permohonan permit pembinaan dan pemasangan kemudahan infrastruktur komunikasi.
“Selain itu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan SKMM untuk mengenal pasti status liputan dan merancang penambahbaikan di kawasan-kawasan aduan serta mengenal pasti lokasi-lokasi yang perlu ditambahbaik kemudahan infrastruktur komunikasi di seluruh Perak,” katanya. – MalaysiaGazette