Ambil peluang DNB untuk rapatkan jurang digital
31 Jan 2022 - Malaysia Post
KERAJAAN perlu prihatin dan segera mencari jalan penyelesaian jurang digital yang telah lama wujud antara kawasan bandar dan luar bandar.
Penganalisis Sosial Masyarakat, Shameerul Abdul Samad, berkata syarikat telekomunikasi (telco) yang memikirkan keuntungan, hanya menyediakan liputan Internet di kawasan yang padat dengan penduduk.
“Hari ini, internet sudah menjadi keperluan hidup kita. Walau di mana pun kita tinggal, internet adalah sebahagian survival hidup kita. Bukan penting dalam hubungan sosial semata, malah ketika pandemik, sudah menjadi medium Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Sebab itu, anak desa sanggup bergadai nyawa memanjat tinggi pokok demi ilmu untuk liputan internet. Sementara yang di bandar pula, mereka tidak berdepan masalah ini.
“Liputan internet di kota sangat efisien. Ini kerana dalam tempoh 10 tahun, telco memfokuskan pembangunan 4G di kawasan bandar untuk mengaut keuntungan segera,” katanya.
Shameerul berkata, kerajaan telah menggagaskan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi merapatkan jurang digital khususnya menghubungkan antara kawasan urban dengan luar bandar.
Justeru itu, beliau berpendapat pemimpin setiap kawasan harus mengambil peluang membentuk polisi menaik taraf capaian internet di lokasi masing-masing untuk kemudahan penduduk.
“Sebagai pemimpin kawasan, inilah masa kalian. Supaya ibu ayah di ceruk desa dan anak-anak kita di pinggir kota dapat bersama merasai nikmat berhubung tanpa jurang.
“Kuasa untuk merubah dan merapatkan jurang digital ini ada di hadapan anda. DNB adalah jawapannya!,” katanya. – Malaysiapost