Aplikasi 'KelantanPay' diperkenal, mudahkan urusan secara dalam talian
PASIR PUTEH, 30 Januari - Kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diperhebat.
Ia bagi memastikan pelaksanaan projek-projek pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) berjalan lancar di Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri telah melancarkan portal sistem hasil tanah dan juga memperkenalkan 'KelantanPay' bagi menyediakan kemudahan bayaran secara dalam talian bagi urusan bayaran hasil tanah dan bayaran perkhidmatan kerajaan.
Ia selari dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif MYDigital, pembayaran bagi semua perkhidmatan kerajaan akan dibuat secara tanpa tunai mulai tahun ini.
"Kita bersyukur dan berterima kasih kerana pihak Kelantan Getway bersama dengan syarikat Bina Net ini berusaha mengatasi masalah liputan untuk rakyat kelantan," kata Ahmad Yakob kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini hari ini.
Melalui projek itu, rakyat Kelantan terutama penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan internet yang lebih baik serta memberi manfaat dari segi pendidikan, ekonomi dan sosial, tambahnya.