Astro Awani - JENDELA: Tiga menara komunikasi baharu mula operasi di Hulu Terengganu
03 Jul 2021 - Astro Awani
KUALA LUMPUR: Penduduk di Hulu Terengganu kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi lebih baik selepas tiga menara komunikasi baharu mula beroperasi pada 31 Mei lalu dengan liputan 4G.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, tiga lokasi menara itu dibina di Kolej Hutecs, Kampung Kepah dan Kampung Machang.
"Pembinaan menara-menara berkenaan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan memanfaatkan lebih 3,000 penduduk di Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu/Hutecs, Kampung Butut dan taman perumahan sekitar termasuk Tok Huji dan Seri Bajar.
"Bagi kawasan menara Kampung Machang pula melibatkan Kampung Machang dan sekitarnya manakala di Kampung Kepah ia meliputi Kampung Tengkawang dan Kampung Matang," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, MCMC berkata, pembinaan menara-menara komunikasi baharu itu juga membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat selain mempersiapkan penduduk berhadapan dengan era digital yang kian mencabar.
"Pada masa yang sama, dengan adanya liputan 4G di kawasan-kawasan yang dimaksudkan, ia juga membantu para guru dan pelajar sekolah untuk melaksanakan serta mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lancar dan berkesan," ujarnya lagi.