Astro Awani - Pelaksanaan Program Jaringan Prihatin bertepatan pada masanya - MCMC
06 Mei 2021 - Astro Awani
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Jaringan Prihatin yang dijangka memberi manfaat kepada 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 disifatkan bertepatan pada masanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata agenda transformasi digital negara harus bersifat inklusif dengan melibatkan semua lapisan masyarakat dan merentasi pelbagai aspek kehidupan ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.
Menurut kenyataan tersebut lagi, MCMC menyambut baik usaha kerajaan untuk menambah baik inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Transformasi digital mewujudkan peluang baharu untuk pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial, namun pada masa yang sama ia turut meningkatkan risiko ketidaksamaan bagi mereka yang tidak terhubung secara digital.
“Masih terdapat golongan rakyat yang tidak berkemampuan untuk melanggan pelan jalur lebar bulanan dan membeli telefon pintar yang kini menjadi keperluan dalam urusan harian,” demikian menurut kenyataan tersebut, pada Khamis.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion, sekali gus membolehkan kumpulan B40 memiliki alat peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar internet.
Daripada keseluruhan RM3.5 bilion itu, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion, manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma.
Bantuan RM180 atau RM300 untuk keluarga kumpulan B40 yang mempunyai anak berusia bawah 18 tahun boleh digunakan sebagai deposit mendapatkan telefon pintar atau sebagai subsidi langganan data RM15 sebulan bagi tempoh 12 bulan yang akan disalurkan melalui akaun-akaun prabayar atau pasca bayar yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi bermula antara Mei hingga Julai ini.
Jelas MCMC, selain pemberian subsidi, sebanyak 910 buah Pusat Internet Komuniti (PIK) yang diselia oleh suruhanjaya itu di seluruh negara akan turut membantu meningkatkan kemahiran dan literasi digital, terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Kesemua inisiatif ini adalah langkah proaktif yang dilaksana bagi memastikan kebolehcapaian digital yang lebih baik untuk rakyat, sejajar dengan inisiatif yang telah pun dimulakan sebelum ini seperti pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),” kata MCMC.