Bangunkan infra 5G secara lebih inklusif, holistik

25 Feb 2022 - Daily Express


Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan digesa membangunkan infrastruktur 5G secara lebih inklusif dan holistik di negeri ini bagi mengatasi masalah jurang digital yang besar antara Sabah dan semenanjung. 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telupid, Jonneybone J. Kurum (gambar) berkata masalah jurang digital berlaku disebabkan penyedia perkhidmatan internet (ISP) lebih memfokuskan pembinaan infrastruktur jalur lebar di kawasan-kawasan komersil berbanding kawasan luar bandar di negeri ini.

 

“Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kualiti rangkaian 4G bagi bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bharu adalah sekitar 84 peratus berbanding hanya 44 peratus bagi kawasan pedalaman di Sabah.

“Disebabkan pembangunan fasiliti yang tidak seimbang, kebanyakan kawasan di Sabah hanya berupaya memperoleh kelajuan jalur lebar setakat 5Mbps sahaja meskipun mereka melanggan pelan yang paling mahal di pasaran.

 

“Kajian Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut mendapati 52 peratus pelajar sekolah rendah dan menengah di Sabah tidak mempunyai akses internet atau peranti mudah alih yang bersesuaian untuk mengikuti sesi pembelajaran atas talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

 

Jonneybone yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata terdapat keperluan bagi Kerajaan Persekutuan kekal dengan keputusannya untuk membangunkan infrastruktur 5G di seluruh negara menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) dan tidak tunduk kepada desakan ISP yang terbukti gagal.

 

Tindakan memilih Kota Kinabalu untuk dibangunkan sebagai salah satu Bandar Pintar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) adalah pilihan tepat untuk membudayakan ekonomi digital, tambahnya. 

“Bagaimanapun, transformasi Kota Kinabalu sebagai Bandar Pintar memerlukan usaha menyeluruh yang melibatkan kesemua pemegang taruh termasuklah kerajaan persekutuan dan DNB.

 

“Alasan bentuk muka bumi Sabah yang digunapakai syarikat telekomunikasi selama ini sudah lapuk dan hanya diberikan bagi menutup niat sebenar mereka yang sekadar mahu mengaut keuntungan di kawasan-kawasan yang lebih komersial.

 

“Sabah tidak mahu ketinggalan dengan negara jiran sepertimana rakan-rakan di Semenanjung dengan Singapura,” katanya.

 

Menurutnya lagi, Sabah mesti hadir sebagai destinasi yang mesra pelabur dan lengkap kemapanan ekonomi digital bagi mengambil peluang pelaburan besar-besaran yang bakal wujud apabila Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur menjelang 2024.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.