KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu terus memacu kesedaran tentang penggunaan rangkaian 5G dalam kalangan pengguna, perniagaan dan teknologi baharunya untuk meningkatkan penerimagunaan rangkaian itu dalam Belanjawan 2024, kata seorang penganalisis.
Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Oktober ini akan menjadi belanjawan kedua diumumkan oleh Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis prinsipal GlobalData, Alfie Amir berkata, kesedaran 5G boleh direalisasikan dengan melaksanakan teknologi berkaitan 5G dalam kalangan pihak-pihak berkaitan untuk meneraju kadar penerimagunaan.
"Tumpuan perlu ditekankan kepada membangunkan peraturan berkaitan penggunaan peribadi spektrum 5G untuk menggalakkan penerimagunaan rangkaian 5G persendirian, bersama-sama dengan teknologi baharu seperti pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan generatif (gen-AI).
"Kita juga perlu menimbang membangunkan peraturan berkaitan AI untuk memacu kesedaran dan penerimagunaan teknologi kerana masih terdapat kebimbangan mengenai privasi dan keselamatan," katanya kepada Bernama.
Alfie berkata, mempercepatkan pelaksanaan model dwi-rangkaian untuk pelaksanaan 5G akan memacu inovasi 5G syarikat telekomunikasi dan mempercepatkan pembangunan pasaran.
Sehingga September 2023, liputan rangkaian 5G Malaysia di kawasan berpenduduk berada pada 70.2 peratus, dengan langganan 5G sebanyak 2.49 juta, diterjemahkan kepada kadar penembusan 7.4 peratus.
Menurutnya, penyedia telekomunikasi Malaysia terus menunjukkan prestasi baik pada 2023, disokong oleh pertumbuhan stabil di tengah-tengah pasaran mudah alih yang tepu, peningkatan persaingan dan situasi 5G di negara ini.
GlobalData menganggarkan pasaran akan terus berkembang sebanyak 2.6 peratus kepada RM30.8 bilion pada tahun ini, katanya.
Segmen talian tetap, yang merangkumi kira-kira satu perempat daripada jumlah pasaran, dijangka berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun ini, didorong oleh langganan baharu di kawasan baharu walaupun terdapat persaingan sengit dan penurunan harga.
Pasaran mudah alih, yang membentuk 74 peratus daripada jumlah pasaran, dijangka meningkat hanya 1.6 peratus tahun ke tahun pada 2023.
Namun begitu, Alfie berpendapat masih terdapat kekurangan pembezaan dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi.
"Syarikat telekomunikasi kini banyak melaksanakan teknologi baharu dan semakin meletakkan diri mereka sebagai penyedia teknologi dan bukannya penyedia telekomunikasi.
"5G akan terus menjadi fokus utama dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Syarikat telekomunikasi perlu menimbang mengembangkan inisiatif mereka untuk menginovasi dan menjana keuntungan daripada teknologi,” katanya.