Berita Harian - MyDigital percepat keterangkuman digital negara

18 Mei 2021 - Berita Harian


MyDigital menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi, melalui Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.

Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing di era baharu ini.

Inisiatif MyDigital adalah penanda aras yang kritikal untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dari 2021-2025, seiring dengan usaha menuju Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Enam Teras Strategik telah dikenal pasti, iaitu memacu transformasi digital di sektor awam, meningkatkan daya saing ekonomi melalui digitalisasi, membangunkan infrastruktur digital, membangunkan tenaga kerja berkemahiran digital, mewujudkan masyarakat digital yang inklusif serta mewujudkan persekitaran digital yang terjamin dan beretika.

Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pelancaran Gerbang Sabah di Kota Kinabalu pada 17 September 2020. Gerbang Sabah yang diuruskan oleh TM menempatkan pusat pendaratan Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) yang menjadi titik sambungan jalur lebar Sabah ke dunia luar.

Di bawah teras 'membangunkan infrastruktur digital,' kerajaan memperuntukkan sejumlah RM21 bilion bagi melaksanakan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada di seluruh negara.

Pencapaian daripada 7.5 juta premis diliputi di hujung tahun 2022 kepada sembilan juta premis, rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi 100% kawasan berpenduduk secara berperingkat dengan kelajuan 100Mbps menjelang penghujung tahun 2025.

Pelan tindakan ini buat pertama kalinya telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 29 Ogos 2020. Pelaksanaan JENDELA akan memastikan negara lebih bersedia untuk beralih ke teknologi rangkaian selular generasi kelima dalam masa yang terdekat.

JENDELA dilaksanakan secara berperingkat dan terbahagi kepada dua fasa, iaitu Fasa 1 yang bermula dari tahun 2020 hingga 2022 dan Fasa 2 yang bermula tahun 2023.

Sasaran yang telah ditetapkan di bawah Fasa 1 JENDELA akan memastikan sumber yang sedia ada digunakan secara optimum bagi capaian akses tetap dan mudah alih:

a) 7.5 juta premis diliputi gentian optik.

b) Meluaskan liputan rangkaian 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk.

c) Mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps.

Di dalam fasa ini juga, pengendali perkhidmatan akan menutup rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir tahun 2021 bagi mempertingkatkan kualiti rangkaian 4G serta menyokong pelaksanaan rangkaian 5G kelak.

Sebanyak RM15 bilion pula akan dilaburkan untuk tempoh 10 tahun bagi tujuan pelaksanaan 5G di Malaysia yang dianggarkan dapat mewujudkan hampir 105,000 peluang pekerjaan.

Pelaksanaan 5G di Malaysia akan dibuat melalui Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kerajaan Malaysia yang dikenali sebagai Digital Nasional Berhad (DNB). DNB akan membangun dan menguruskan rangkaian 5G di Malaysia menerusi model borong, untuk memastikan ia telus dan dilaksanakan dengan lebih baik.

Terdahulu, inisiatif Projek Demonstrasi 5G Malaysia (5GDP) diperkenalkan bertujuan untuk memudah cara, membina dan memupuk pembangunan kes kegunaan yang berpotensi tinggi dalam persekitaran sebenar tetapi terkawal, bagi mengembangkan ekosistem 5G di Malaysia merentasi pelbagai sektor industri.

Seterusnya, sejumlah RM1.65 billion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga tahun 2023. Ini akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa yang lebih cepat dan stabil, sekaligus menurunkan kos Internet kepada pengguna di Malaysia.

Selain itu, antara RM12 billion hingga RM15 billion akan dilaburkan oleh syarikat Cloud Service Provider ("CSP") atau penyedia perkhidmatan awan dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.

Setakat ini, kerajaan telah memberi kebenaran bersyarat kepada empat (4) syarikat CSP - Microsoft, Google, Amazon serta Telekom Malaysia - untuk membina dan menguruskan pusat data berskala hiper dan perkhidmatan awam (cloud services).

Pusat data yang berskala-hiper ini serta perkhidmatan awan hibrid atau hybrid cloud services, juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis.

Sebagai langkah untuk memperkasakan perkhidmatan pengkomputeran awan Sektor Awam, kerajaan menerusi strategi Cloud First, telah menyasarkan migrasi 80% data awam ke sistem awan hibrid ini menjelang akhir 2022.

Selain pengumpulan dan pengurusan data secara lebih berkesan dan lancar, strategi ini dapat mengurangkan kos kerajaan dalam pengurusan teknologi maklumat dalam jangka panjang.

Perkhidmatan Cloud juga akan membolehkan aplikasi data raya (big data), Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Internet Kebendaan (Internet of Things) dan lain-lain digunakan untuk memantapkan perkhidmatan kerajaan.

Pautan - https://www.bharian.com.my/bisnes/teknologi/2021/05/817518/mydigital-percepat-keterangkuman-digital-negara


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.