Bernama - Pendigitalan negara fokus MCMC bagi pemulihan ekonomi seiring Pelan Pemulihan Negara
PUTRAJAYA: Pendigitalan negara terus menjadi fokus utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membantu negara dalam menyediakan landasan yang mantap bagi pemulihan ekonomi serta seiring dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
MCMC berkata sebagai sebuah badan kawal selia yang bertanggungjawab ke atas sektor komunikasi meliputi telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran, ia komited untuk terus memastikan kelangsungan operasi dalam perkhidmatan-perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pembukaan ekonomi secara berfasa amat diperlukan agar perkhidmatan-perkhidmatan perlu beroperasi pada tahap yang dikehendaki dan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang telah dimaklumkan terdahulu secara berdisiplin," menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini.
MCMC berkata rakyat dapat terus terhubung melalui perkhidmatan-perkhidmatan perlu yang disediakan seperti telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran dan memanfaatkan kesalinghubungan internet untuk aktiviti harian seperti e-dagang, bekerja dari rumah (WFH) dan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
"Ini boleh membantu usaha kerajaan mengurangkan kluster jangkitan di tempat kerja selain pematuhan kepada SOP," katanya.
Bagi menjayakan agenda PPN, MMC berkata antara program dibangunkan bersama industri adalah seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk kesalinghubungan, Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) untuk penghantaran barangan, transformasi Pejabat MCMC Negeri untuk lebih tangkas mengatasi isu perkhidmatan dan pembangunan Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk membantu komuniti setempat bagi kesalinghubungan serta pembangunan ekonomi setempat.
Menghuraikan inisiatif PAKEJ sebagai contoh, MCMC berkata lebih banyak Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) ditambah di seluruh negara.
Menurut MCMC, kelebihan PUDO adalah tidak ada keperluan untuk para pelanggan menunggu ketibaan penghantaran dan penghantaran barangan juga dilaksanakan secara tanpa sentuhan, yang akan membantu melindungi pelanggan daripada risiko jangkitan.
MCMC berkata sektor penyiaran diberi kebenaran untuk terus beroperasi semasa tempoh PKP bagi membolehkan rakyat mengikuti perkembangan semasa dengan selamat dan selesa dari rumah, serta membolehkan mereka merancang aktiviti harian dengan baik melalui informasi sahih dan tepat.