Capaian internet meningkat 169 peratus, sasar perkasa 5G

23 Nov 2023 - Buletin Mutiara


GEORGE TOWN – Kadar penembusan jalur lebar mudah alih di Pulau Pinang telah mencatatkan peningkatan sebanyak 169 peratus melebihi kadar nasional 133.3 peratus.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) di Pulau Pinang pula adalah sebanyak 58.6 peratus iaitu melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional 49.1 peratus.

“Kelajuan jalur lebar mudah alih di Pulau Pinang adalah sebanyak 51.74Mbps berbanding kelajuan nasional 48.1Mbps.

“Bagi peratusan liputan Internet rangkaian 4G, sehingga bulan Oktober 2023, liputan Internet di kawasan berpenduduk Pulau Pinang adalah sebanyak 99.85 peratus.

“Kadar liputan ini telah melepasi sasaran nasional iaitu sebanyak 96.96 peratus menjelang penghujung tahun 2023.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berusaha bagi menyelesaikan masalah liputan 4G yang masih kurang memuaskan di beberapa kawasan di seluruh Pulau Pinang,” ujar Zairil pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini tadi pagi.

Tambahan itu kata Zairil, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) bersama-sama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) serta agensi Persekutuan dan Negeri seperti MCMC, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kini sedang dalam pelaksanaan pembangunan rangkaian komunikasi 5G di Pulau Pinang.

“Sehingga 30 September 2023, kadar liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh Negeri Pulau Pinang telah mencapai 73.4 peratus dengan 316 tapak pemancar telah tersedia liputan 5G daripada jumlah keseluruhan 469 tapak pemancar yang akan disiapkan sepenuhnya pada tahun hadapan.

“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri sedang dalam proses menubuhkan Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Digital yang akan memainkan peranan untuk memantau, meneliti dan mengkoordinasi perlaksanaan projek- projek pembangunan teknologi digital.

“Ia merangkumi pembangunan infrastruktur telekomunikasi, inisiatif digital sektor awam, inisiatif digital ekonomi, inisiatif bandar pintar dan pemerkasaan komuniti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.