CelcomDigi pertahan caj tambahan langganan 5G

20 Okt 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) ketika ini masih mengekalkan pendirian mengenai isu caj tambahan untuk langganan rangkaian 5G walaupun terdapat beberapa permintaan sebelum ini untuk memansuhkan caj tambahan itu.

Ini termasuk saranan daripada Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil yang menyatakan sebelum ini akan mengadakan perbincangan dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengenai isu caj tambahan untuk langganan rangkaian 5G.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Mohamad Idham Nawawi, menjelaskan caj tambahan semasa untuk pelanggan menaik taraf kepada perkhidmatan 5G memberikan tahan fleksibel paling tinggi.

Beliau berkata, ketika ini, CelcomDigi merasakan ia adalah salah satu cara yang paling fleksibel untuk pelanggan beralih dan menggunakan perkhidmatan 5G.

"Jadi, untuk jumlah yang kecil, mereka boleh mempunyai kapasiti tambahan dan kemudian mereka mempunyai akses kepada rangkaian 5G.

"Ia memberikan peralihan seperti itu kepada pelanggan kami yang tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk ikut serta dalam 5G," katanya selepas pelancaran logo CelcomDigi di sini, semalam.

Mengikut rekod, CelcomDigi bersama Maxis Bhd mengenakan caj sehingga RM20 untuk pelanggan, bergantung kepada pelan langganan untuk mendapatkan akses kepada rangkaian 5G yang dibangunkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB).

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan berhubung dengan pengendali MNO melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membincangkan kemungkinan mengetepikan caj tambahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty pula mendedahkan bahawa perjanjian capaian CelcomDigi dengan DNB untuk rangkaian 5G tidak menetapkan sebarang harga siling yang boleh dikenakan oleh MNO ke atas pelanggannya.

Murty berkata, model semasa menaik taraf 5G membolehkan pelanggan membuat keputusan untuk memilih bahawa mereka mahu mencuba pelan 5G.

"Apabila mereka berbuat demikian, maka mereka mendapat tambahan kuota 4G dan 5G. Jadi, kami menganggapnya sebagai peningkatan kuota dalam pelan berkenaan.

"Justeru, kami tidak melihat itu sebagai isu dan kami melihat bahawa itu adalah cara yang betul untuk memperkenalkan pelanggan yang betul dalam segmen yang betul untuk menggunakan 5G," katanya.

Murty juga menjelaskan bahawa pada masa ini, perkhidmatan CelcomDigi 5G terikat bersama rangkaian 4G, dan tiada pakej kendiri untuk 5G yang biasanya membabitkan penggunaan data lebih tinggi.

"Pelanggan yang menggunakan pelan 4G akan mendapat 5G secara automatik jika anda menggunakan pelan mewah," katanya.

Murty berkata, capaian 5G hanya akan mempunyai liputan 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

Justeru, beliau berkata, CelcomDigi mahu memastikan bahawa pelanggan yang mendaftar untuk 5G mempunyai peranti yang tepat terlebih dahulu.

"Selepas itu mereka boleh menyambung ke 5G dan mempunyai 5G di mana mereka berada," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.