DBKK, MCMC jalin kerjasama pelaksanaan sistem CIPM
PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk melaksanakan System Communication Infrastructure Permit Management (CIPM) hari ini.
Memorandum persefahaman berkenaan ditandatangani oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip dan Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, pihak DBKK bersetuju untuk mengguna pakai sistem CIPM tersebut bagi menambah baik proses sedia ada selain untuk menangani ketirisan pada pendapatan DBKK.
“Melalui penggunaan sistem ini, ia dapat memastikan struktur menara yang didirikan mempunyai kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta dapat mengenal pasti struktur telekomunikasi yang beroperasi tanpa permit yang sah.
“Penggunaan sistem CIPM itu juga bertujuan untuk memudahkan urusan permohonan dan kelulusan pembaharuan permit prasarana telekomunikasi oleh PBT dan pemilik prasarana telekomunikasi di masa akan datang,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, MoU itu juga memperkukuhkan tadbir urus dan sistem penyampaian kerajaan melalui perkhidmatan teknologi digital termasuk secara dalam talian bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan efektif.
“Selain itu, sistem tersebut turut membantu dalam melancarkan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
“Dengan maklumat tepat mengenai infrastruktur digital di Sabah, usaha untuk menambah baik kawasan yang tidak mempunyai liputan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE