DNB, Ericsson bekerjasama dengan KPT perkasa kemahiran digital pelajar IPT

06 Nov 2023 - Dagang News


KUALA LUMPUR, 6 Nov - Digital Nasional Berhad (DNB) dan Erisson memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mempromosikan 'MY5G Malaysia Pioneers Programme' di institusi pengajian tinggi seluruh negara, dalam inisiatif bersama untuk menyokong aspirasi digital negara. 

Salah satu objektif utama program ini adalah untuk melengkapkan pelajar dari pelbagai latar belakang akademik dengan kemahiran, pengetahuan dan kesedaran tentang teknologi terkini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik kerjasama antara kerajaan dan industri iaitu KPT, DNB dan Ericsson. 

"Dengan mengukuhkan hubungan dengan industri dan melaksanakan langkah-langkah khusus dan strategik, ia akan memastikan bahawa graduan yang bakal datang memiliki kemahiran berkaitan dengan industri, melalui pendekatan lebih fokus dan sasaran, dan menangani keperluan industri secara langsung,"katanya dalam kenyataan media di sini.

Ketua Pegawai Strategi DNB, Datuk Ahmad Zaki Zahid pula berkata, pembangunan modal insan dalam kompetensi digital dan peningkatan kemahiran adalah penting untuk memastikan bahawa Malaysia mempunyai bakat yang tepat untuk mengendalikan dan mendapat manfaat daripada pelaburan yang dibuat dalam infrastruktur 5G canggih.

"Kami akan terus memberikan sokongan kuat terhadap aspirasi kementerian untuk menggerakkan sumber dan kepakaran, supaya ekosistem yang menyokong graduan berkualiti dapat dibentuk secara strategik,"katanya.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata, pihaknya berasa bekerjasama dengan DNB dan KPT bagi membantu membangunkan bakat Malaysia, demi merealisasikan digital negara.

"Kami berasa teruja untuk bekerjasama bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada program ini, supaya mereka dapat bersedia untuk mengambil peluang yang ada di hadapan mereka yang akan dipacu oleh rangkaian 5G Malaysia bertaraf dunia dan masa depan yang didorong secara digital,"katanya. 

Sementara itu, program dalam talian tersebut dibahagikan kepada tiga modul dan bertujuan untuk memberikan pelajar pemahaman yang menyeluruh tentang teknologi baharu seperti internet kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR).

Sejak dilancarkan pada 11 Januari 2023, program itu mendapat sambutan daripada pelbagai universiti. dengan penyertaan pelajar yang menggalakkan.

Dengan jumlah pendaftaran lebih daripada 10,000 pelajar dan penyertaan aktif daripada 126 universiti, termasuk 20 universiti awam, sambutan itu benar-benar mencerminkan semangat yang berkembang dalam kalangan pelajar dan institusi pengajian tinggi dalam mengadaptasi teknologi baharu.

Institusi pengajian lain seperti politeknik dan kolej komuniti pula akan turut disertakan dalam fasa program ini yang seterusnya.- DagangNews.com


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.