DNB belanja RM1.889 bilion bangunkan prasarana, rangkaian 5G tunggal

02 Mac 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Digital Nasional Berhad (DNB) membelanjakan sejumlah RM1.889 bilion untuk membangunkan prasarana dan rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara, setakat 31 Disember lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata sebanyak 3,906 daripada 7,509 perancangan tapak 5G juga sudah disiapkan.

"Anggaran kos keseluruhan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia oleh DNB adalah berjumlah RM16.5 bilion bagi tempoh 10 tahun.

"Ini merangkumi RM12.5 bilion bagi membiayai perkakasan rangkaian dan infrastruktur 5G, serta RM4 bilion bagi perbelanjaan kos korporat," katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai anggaran kos keseluruhan projek 5G dan berapa jumlah dibelanjakan DNB, setakat Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, DNB adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang ditubuh bagi membangunkan prasarana dan rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara.

Beliau memaklumkan, DNB dilesenkan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pada 1 Jun 2021 bagi menjalankan aktiviti menyediakan perkhidmatan liputan serta kapasiti 5G secara borong kepada pemegang lesen yang lain.

"Berdasarkan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan pada 20 Januari lalu, DNB kini diletakkan bawah kawal selia Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), selari dengan fungsi KKD yang mentadbir urus hal berkaitan industri komunikasi," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.