“Diharap penduduk tak lagi hadapi masalah untuk berhubung dengan ahli keluarga”

18 Jan 2024 - Buletin TV3


GUA MUSANG: Penantian 10 tahun penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam, di sini untuk melihat petempatan mereka dilengkapi liputan internet bakal berakhir apabila kawasan itu akan disenaraikan dalam Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

Dengan adanya akses internet nanti, mereka tidak perlu lagi keluar kira-kira tiga kilometer melalui jalan ladang getah dan kelapa sawit yang berbatu untuk mendapatkan liputan telekomunikasi bagi telefon dan capaian internet untuk berhubung.

Penduduk, Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, ketika ditemui, melahirkan rasa syukur apabila masalah yang dihadapi masyarakat di kampung itu yang dibuka 10 tahun lalu, akhirnya mendapat perhatian pihak berwajib.

 

“Sangat gembira kerana akhirnya akan dapat internet selepas 10 tahun tinggal di sini. Selama ini terpaksa keluar tiga kilometer untuk berhubung dengan anak dan keluarga,” katanya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Sementara itu, Mohd Azizi ketika ditemui media semasa membuat tinjauan dan mendengar taklimat MCMC pada majlis di kampung itu yang turut dihadiri Pengarah MCMC Kelantan, Hairudin Mohd Zin, gembira dengan tindakan pantas suruhanjaya berkenaan menyelesaikan masalah penduduk.

“Difahamkan kampung itu yang ada kira-kira 50 penduduk akan dimasukkan di bawah program JENDELA untuk akses internet percuma. Alhamdulillah, masalah penduduk sudah ada jalan penyelesaian dan insya-Allah akan berada di bawah program JENDELA, boleh layari internet percuma.

“Terima kasih MCMC yang bertindak pantas terhadap aduan dibuat, saya rasa tak sampai dua minggu masalah ini diselesaikan. Selepas ini, diharap penduduk tak lagi hadapi masalah untuk berhubung dengan ahli keluarga atau lapor kes kecemasan kerana difahamkan gajah liar sering berkeliaran di situ,” katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.