Dua inisiatif MCMC terpilih calon akhir anugerah WSIS 2023

05 Jan 2023 - Bernama


KUALA LUMPUR – Dua inisiatif yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tersenarai sebagai calon akhir bagi Anugerah World Summit on The Information Society Prizes (WSIS) 2023 anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Dua inisiatif tersebut ialah Pelan JENDELA yang terpilih sebagai calon akhir bagi kategori Infrastruktur Komunikasi dan Maklumat, manakala KDB pula terpilih bagi kategori Dimensi Etika untuk Masyarakat Bermaklumat.

Menurut kenyataan MCMC, penyertaan Pelan JENDELA memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memperluaskan liputan dan mempertingkat kualiti perkhidmatan jalur lebar dalam negara.

“Perkara itu bagi membolehkan rakyat memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian walaupun negara berdepan dengan cabaran pertumbuhan ekonomi.

“Pada masa sama, inisiatif ini juga akan membawa Malaysia setaraf dengan negara-negara maju yang lain seperti Australia, Jepun, Singapura dan Korea Selatan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, penyertaan inisiatif KDB memfokuskan untuk meningkatkan pengetahuan dan pendidikan mengenai keselamatan Internet.

Selain itu, mempromosi budaya penggunaan internet yang positif, produktif dan bertanggungjawab demi memastikan masyarakat terus mengamalkan budaya hormat dan beretika ketika dalam talian.

Pada Anugerah WSIS kali ini, MCMC akan bersaing dengan China, Singapura, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Oman.

Sementara itu MCMC menjemput orang ramai mengundi kedua-dua inisiatif berkenaan sebelum 25 Januari 2023 menerusi pautan https://www.itu.int/net4/wsis/stocktaking/Prizes/2023.

Terdapat 18 kategori yang dipertandingkan dalam anugerah ini dan setiap kategori mempunyai 20 penyerahan projek dari seluruh dunia.

WSIS Prizes adalah pertandingan antarabangsa yang unik, dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan.

MCMC pernah dinobatkan sebagai Juara Hadiah WSIS untuk tahun 2016, 2017, 2020 dan 2020 bagi projek “Komuniti Pintar Kemaman”, “Pembangunan e-Majalah untuk Sekolah-Sekolah di Daerah Komuniti Pintar di Malaysia” dan “Klik Dengan Bijak”.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.