EMF dalam rangkaian 5G di kawasan awam sangat rendah: Tiong

27 Okt 2023 - Utusan Borneo


SIBU: Pemancaran medan elektromagnetik (EMF) daripada infrastruktur radiokomunikasi di kawasan awam dalam pelaksanaan rangkaian 5G adalah sangat rendah dan tidak menimbulkan risiko kesihatan kepada penduduk sekitar.

Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng berkata, ini berdasarkan kajian dan pengukuran yang luas dan orang ramai perlu dididik untuk membantu menghapuskan kebimbangan mengenai struktur tersebut.

Tiong berkata selaras dengan visi negara, SMA sedang aktif bekerjasama dengan Digital National Berhad (DNB) untuk membina ekosistem 5G di Sarawak.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai radiasi daripada struktur telekomunikasi, justeru beliau menekankan kesihatan tetap menjadi keutamaan dalam pembinaan kemudahan itu.

"Rangkaian 5G mempunyai potensi untuk mengubah kehidupan harian, daripada kerja hingga rekreasi dan aktiviti harian. Dengan kelajuan sehingga 10Gbps, ia boleh meningkatkan perniagaan, pengeluaran, logistik, pertanian pintar dan banyak lagi.

"Paling penting, rangkaian 5G selamat untuk kesihatan awam, tanpa kesan buruk. 
Adalah penting untuk bergantung kepada data yang tepat daripada desas-desus yang tidak terbukti daripada sumber yang tidak disahkan," ujarnya pada Malam Penghargaan Media SMA di Hotel Tanahmas di sini, malam Khamis.

Tiong berkata, Malaysia telah membuat kemajuan signifikan dalam melaksanakan teknologi selular jalur lebar 5G yang 100 kali lebih pantas daripada 4G.

Beliau juga berkata, pelaksanaan rangkaian 5G yang pantas memerlukan infrastruktur telekomunikasi yang kukuh dan rapat, yang kini dipasang oleh penyedia perkhidmatan di kawasan kediaman di bandar-bandar Sarawak.

"Berbeza dengan teknologi sebelum ini, 5G menawarkan latensi minimum hanya satu milisaat, membenarkan kawalan peranti jauh yang lebih cekap dan tepat.

"Selain itu, 5G boleh menyambungkan sejuta peranti dalam kawasan satu kilometer persegi, berbanding dengan teknologi LTE, yang hanya boleh menyambungkan 1,000 peranti dalam kawasan yang sama," jelasnya.

 

Sementara itu, Tiong juga berkata SMA komited untuk meningkatkan keselamatan siber melalui Pelan Tindakan  Ekonomi Digital Sarawak 2030 sebagai tindak balas kepada kebimbangan utama masyarakat mengenai keselamatan data mereka akibat penipuan dalam talian.

Beliau menekankan keselamatan siber adalah aspek asas dalam ekosistem digital.
"Jenayah siber berkembang dengan pesat, menjadikan keselamatan siber bukan sahaja satu pilihan tetapi satu keperluan.

"Ia melampaui perlindungan data dan maklumat untuk merangkumi infrastruktur, sistem pengangkutan, penjagaan kesihatan, pembuatan, peruncitan, kewangan, dan aspek-aspek sosial.

"Pada tahun 2021 sahaja, Laporan Antarabangsa mencatat kerugian keseluruhan sebanyak AS$6 trilion dalam jenayah siber.

"Justeru, kerjasama, pengetahuan dan komunikasi yang tepat mengenai ancaman dan cara untuk menghadapinya adalah langkah penting ke hadapan," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.