Empat menara telekomunikasi di Sibuti dijangka siap pada Disember

19 Okt 2023 -


MIRI: Empat lagi menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Parlimen Sibuti kini dalam pembinaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata ia membabitkan kawasan Kampung Bakam, Ladang 3 Subis serta menara Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di Baei Mamut dan Rumah Nelson.

"Projek ini dijangka siap pada Disember depan dan beroperasi suku tahun pertama 2024. 

"Bagi projek SMA, pihak berkuasa telah memaklumkan peralatan telekomunikasi atau bahasa mudah 'kuali' telah dipasang sepenuhnya," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata menara baharu yang akan dibina di bawah JENDELA terutama kawasan yang mempunyai talian telekomunikasi yang lemah.

Dengan adanya menara telekomunikasi ini, ia akan memberi jalur lebar yang lebih baik di kawasan luar bandar.

Sementara itu, penduduk Kampung Bakam Mokhtar Ree berkata perkhidmatan jalur lebar di kawasan kampung diharapkan lebih baik dan pantas sama seperti di bandar.

"Sekarang adalah zaman di mana semua rakyat memerlukan perkhidmatan jalur lebar dan telekomunikasi yang jelas untuk berhubung, mencari maklumat, berniaga dan sebagainya.

"Kita bersyukur kerana kerajaan memilih kawasan ini untuk menaik taraf projek di bawah JENDELA dan semoga perkhidmatan ini memberi manfaat kepada kami semua," jelasnya.

Dalam hantaran lain, Lukanisman memaklumkan Klinik Kesihatan Semop Jenis 6 dijangkap siap penghujung tahun ini sekiranya semua kerja-kerja pembinaan berjalan lancar.

"Jika proses Perakuan Siap Kerja (CPC) selesai, dijangka pengoperasian klinik dapat dilaksanakan menjelang suku kedua 2024," jelasnya.

Menurutnya, Klinik Kesihatan ini juga bakal menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan seperti farmasi, makmal mini dan Jabatan Pesakit Luar.

Selain itu mempunyai kelengkapan seperti ‘pump house’ dan ‘genset house’ bagi memastikan klinik tersebut sentiasa mempunyai bekalan air dan elektrik yang mencukupi.

Beliau bersama Ahli Parlimen Tanjong Manis telah melawat tapak pembinaan Klinik Kesihatan itu pada Julai lepas.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.