Enam menara komunikasi baharu manfaatkan 18,850 penduduk
13 Okt 2021 - Utusan Borneo
KOTA KINABALU: Enam menara komunikasi yang baharu beroperasi sepenuhnya sejak 30 Julai lepas memanfaatkan kira-kira 18,850 penduduk di enam kampung membabitkan daerah Tawau, Semporna dan Kunak.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerusi kenyataan media Jabatan Komunikasi Korporat di sini hari ini, penduduk berkenaan kini dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G yang lebih pantas dan berkualiti menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Enam kampung yang terlibat adalah Kampung Bukit Qouin Ladang Sungai Kawah dan Tamang Pulau Sebatik di Tawau, Kampung Kabimbangan dan Igang Igang Semporna serta Kampung Kunak 3 dan Telaga Tujuh di Kunak.
Dalam pada itu, kerja-kerja pembinaan dan pemasangan alat pemancar di tapak menara komunikasi baharu bagi tiga lagi lokasi di daerah Tawau iaitu di Kampung Iban Kuala Nangsang, Sungai Udin Sabah Softwood dan Skim Mesej Ladang Sungai Labah di Pulau Sebatik sedang giat dilaksanakan oleh pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik.
Pembinaan menara komunikasi berkenaan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku keempat Disember tahun ini.
Setakat Ogos 2021, pelaksanaan pelan JENDELA di Bahagian Tawau menyaksikan sejumlah 16,480 premis di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu disediakan akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi, manakala sebanyak 2,051 premis lagi masih dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap pada Mac 2022.
Peluasan perkhidmatan jalur lebar talian tetap ini melibatkan kawasan perumahan, komersial, industri dan institusi kerajaan.
Dalam usaha meningkatkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di
Bahagian Tawau, sebanyak 467 stesen pemancar sedia ada siap dinaik taraf kepada teknologi 4G.
Selain itu, sebanyak 415 lagi stesen pemancar sedang giat dinaik taraf secara berperingkat dan dijangka siap serta boleh dinikmati oleh penduduk setempat pada Mac 2022.
Terdapat 21 lokasi Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Melalui Satelit (VSAT) di Bahagian Tawau termasuklah lapan di Tawau, dua di Semporna, tiga di Kunak, dan lapan lagi di Lahad Datu.