Ericsson penuhi kriteria, pertambahan kos berasas - DNB

15 Feb 2022 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Pemilihan Ericsson sebagai pemenang kontrak vendor Rangkaian Capaian Radio (RAN) bagi menyediakan perkhidmatan internet 5G di seluruh Malaysia disifatkan sebagai pilihan tepat.

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Ralph Marshall, menjelaskan syarikat telekomunikasi berpangkalan di Stockholm, Sweden itu melepasi semua proses penilaian empat peringkat yang ketat.

Selain itu, katanya, Ericsson menyediakan harga kos peralatan rangkaian paling rendah antara semua syarikat yang mengemukakan bidaan.

"Ericsson menduduki tempat teratas dalam ketiga-tiga komponen utama kriteria penilaian tender, membabitkan aspek teknikal meliputi keseluruhan kemampuan teknologi 5G, kemampuan pelaksanaan 5G, pendekatan integrasi, keselamatan siber dan rangkaian serta operasi dan penyelenggaraan.

"Dari segi komersial, Ericsson meliputi cadangan pembiayaan dan jumlah kos keseluruhan pemilikan, manakala konteks sosioekonomi, ia merangkumi pembangunan tempatan dan kesan sosioekonomi.

"Oleh kerana penggabungan spektrum 5G dengan DNB ini dan keperluan yang berkurangan untuk tapak serta infrastruktur duplikasi, DNB berjaya melaksanakan rangkaian 5G pada 15 Disember tahun lalu.

 

"Ia hanya lima bulan selepas pelantikan Ericsson pada 1 Julai 2021," katanya menerusi kenyataan terperinci Sabtu lalu, menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.

Marshall turut menjelaskan perubahan anggaran kos DNB bagi tempoh 10 tahun akan datang daripada RM11 bilion semasa diumumkan pada Julai 2021, kepada RM12.5 bilion.

Menyentuh perincian anggaran kos asal, katanya, sebanyak RM4 bilion diperuntukkan untuk pembelian perkakasan rangkaian, manakala RM7 bilion lagi dianggarkan bagi infrastruktur rangkaian seperti fiber, tapak lokasi, 'infracos', tenaga dan fi penguntukan radas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Bagaimanapun, jelas kini bahawa sebanyak RM1.5 billion lagi diperlukan untuk fiber tambahan bagi 10 tahun akan datang, justeru kos rangkaian infrastruktur ini dianggarkan bernilai RM8.5 bilion.

"Ini menjadikan kos keseluruhan rangkaian liputan perkakasan dan infrastruktur berjumlah RM 12.5 bilion untuk tempoh 10 tahun akan datang.

"Daripada jumlah ini, sebahagian besar iaitu RM10.7 bilion akan dibelanjakan dalam ekosistem telco domestik, dengan penerima utama ialah syarikat telco, fiber, pembekal infrastruktur dan tenaga, termasuk anggaran RM1 bilion, masing-masing bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta SKMM.

"Selain pelaburan RM12.5 bilion ini, perbelanjaan korporat dan operasi untuk menyelenggarakan rangkaian 5G selama 10 tahun adalah dianggarkan berjumlah RM4 bilion, termasuk kos pekerja sebanyak RM2.1 bilion bagi menampung sehingga 750 kakitangan, di mana lebih separuh akan terdiri daripada kakitangan Bumiputera," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.