Fahmi tolak kebimbangan AS, EU berkait dakwaan lobi 5G Huawei

03 Mei 2023 - Free Malaysia Today


PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menolak kebimbangan disuarakan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung risiko keselamatan di sebalik dakwaan Huawei dikatakan berminat dalam penyediaan 5G negara.

Katanya, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan semua duta asing yang bimbang dengan perkara itu bagi memberi penjelasan berhubung kedudukan kerajaan.

“Adalah penting bagi kita menekankan kedaulatan negara, Malaysia dan kerajaan Malaysia mempunyai hak dan kuasa memutuskan dasar tanpa campur tangan pihak lain,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, sebarang keputusan kerajaan berhubung perkara itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah meningkatkan pertumbuhan ekonomi, selain mahu “mengharmonikannya” dengan kebimbangan antarabangsa.

“Apabila kita bertemu, bincang dan menjelaskan kepada pihak terlibat, mereka akan memahami pendirian kerajaan Malaysia berkait perkara itu,” katanya.

Katanya, kerajaan kekal neutral, sambil menambah keutamaan adalah memastikan kemampanan ekosistem 5G serta menangani beberapa perkara berbangkit.

Semalam, Financial Times melaporkan, utusan AS dan EU ke Malaysia menulis kepada kerajaan, pada bulan lalu, susulan langkah kerajaan menyemak semula penganugerahan tender kepada Ericsson untuk mewujudkan rangkaian 5G milikan negara. Surat utusan itu dilihat Financial Times.

Laporan itu menyebut, Huawei, syarikat perkakasan komunikasi dari China yang disenarai hitam Washington, secara aktif melobi untuk diberi peluang membina rangkaian 5G Malaysia. Huawei dan syarikat terkemuka dari Finland, Nokia, gagal mengatasi Ericsson dalam proses tender terbuka.

Dalam surat itu, Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters, berkata membenarkan “pembekal tidak dipercayai” dalam terlibat dalam sebarang bahagian rangkaian melibatkan infrastruktur Malaysia menjurus kepada risiko keselamatan negara.

Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengarahkan semakan RM11 bilion kontrak rangkaian 5G diberikan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) – syarikat bertujuan khas (SPV) dibentuk bawah Kementerian Kewangan – kepada Ericsson oleh pentadbiran terdahulu. Katanya, ia penting demi memastikan pihak berkenaan mematuhi prosedur ketat.

 

Terdahulu, Putrajaya bersetuju dengan penyedia kedua perkhidmatan 5G dan peralihan kepada model dwirangkaian akan bermula dalam Fasa 2 pelancaran rangkaian 5G.

Fahmi berkata, ini hanya akan berlaku selepas DNB mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.