Fasa 1 Jendela berjaya, lepasi sasaran, kata MCMC

01 Jun 2023 - The Malaysian Insight


PELAKSANAAN fasa 1 pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) melepasi sasaran kawasan liputan perangkaian, kelajuan rangkaian mudah alih dan kesalinghubungan gentian yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, fasa 1 Jendela mencapai 7.74 juta premis sedia untuk disambungkan dengan Internet gentian, melebihi 7.5 juta premis pada sasaran awal.

Beliau berkata penyiapan fasa 1 Jendela juga menyaksikan 96.92% kawasan berpenduduk sekarang mempunyai kelajuan liputan rangkaian mudah alih dan 4G, 116.03 megabit sesaat (Mbps).

Sasaran awal liputan rangkaian 4G adalah 96.9% dan sasaran kelajuan rangkaian mudah alih ditetapkan pada 35 Mbps.

“Langkah paling penting sekarang adalah untuk mencapai tahap tertentu dan mengekalkannya pada tahap itu atau lebih baik lagi dapatkan tahap yang lebih tinggi daripadanya,” katanya kepada kepada media dan penganalisis secara dalam talian semasa pembentangan laporan fasa 1 Jendela hari ini.

Mohd Ali Hanafiah berkata, dengan lengkapnya fasa 1 Jendela, fasa 2 dijangka akan bermula seawal suku ketiga tahun ini atau paling lewat menjelang suku keempat.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat halangan yang perlu diatasi sebelum fasa 2 dilaksanakan termasuk peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian seperti yang diumumkan baru-baru ini.

“Kerajaan membuat kajian semula dan dasar rangkaian borong tunggal akan diteruskan hanya sehingga kita capai 80% (liputan 5G) pada hujung tahun ini.

“Selepas itu kita akan berhijrah kepada dwirangkaian. Apa yang dilakukan kerajaan adalah menubuhkan satu pasukan petugas yang bermesyuarat setiap dua minggu. Melalui pasukan petugas ini akan menyelidiki semua isu dan halangan,” katanya.

Beliau berkata kewujudan Tawaran Akses Rujukan (RAO) juga mungkin perlu dikemas kini atau diganti kerana ia hanya direka bentuk untuk model rangkaian borong tunggal.

“Sebaik sahaja ia menjadi entiti berkembar, ia akan berbeza daripada RAO yang kita ada hari ini yang berasaskan kepada model rangkaian borong tunggal. Bahkan ini adalah antara yang dibincangkan pasukan petugas pada masa ini,” katanya.

Perkara itu timbul selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan 5G negara akan bertukar kepada model dwirangkaian sebaik sahaja rangkaian di bawah Digital Nasional Bhd mencapai 80% liputan kawasan berpenduduk bagi memastikan kualiti rangkaian 5G.

Dalam taklimat hari ini, Mohd Ali Hanafiah juga mengumumkan liputan 5G dalam kawasan berpenduduk kini mencecah 57.9% dan MCMC yakin sasaran 80% menjelang hujung tahun ini boleh dicapai.

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan rangkaian 5G masih rendah setakat Mac lalu dengan hanya 1.2 juta pengguna atau 3.1% pengguna melanggan Internet 5G. – Bernama, 1 Jun, 2023.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.