Harian Metro - SKMM seru kerajaan negeri permudah pembangunan infra telekomunikasi
05 Jun 2021 - Harian Metro
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyeru kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera untuk mempermudahkan inisiatif pembangunan infrastruktur telekomunikasi bagi merealisasikan polisi perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam seperti dipersetujui kerajaan baru-baru ini.
Menurut SKMM, ini susulan lonjakan permintaan terhadap perkhidmatan komunikasi ketika rakyat menghadapi norma baharu yang memaksa banyak urusan pekerjaan, pendidikan, jual beli dan interaksi dilakukan secara dalam talian.
"Keperluan ini tambah mendesak berikutan trend global semasa yang semakin mengunjur ke arah kemajuan berlandaskan teknologi 5G, Revolusi Industri Keempat (4IR) dan Ekonomi Digital," menurut SKMM dalam kenyataan hari ini.
SKMM menyatakan banyak usaha dilaksanakan ke arah digitalisasi, antaranya melalui Pelan Tindakan MyDigital, merangkumi pembinaan infrastruktur digital yang mampan di bawah beberapa inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB).
Bagaimanapun SKMM menjelaskan, usaha itu berisiko terbantut sekiranya kerajaan negeri gagal melaksanakan perubahan dasar yang bersesuaian dan mengurangkan kos untuk membina infrastruktur ini dengan pantas.
Sehubungan itu, SKMM menyatakan kerjasama kerajaan negeri akan memberi impak positif terhadap tahap kesediaan infrastruktur dan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat untuk bersiap sedia memanfaatkan transformasi digital.
"SKMM melalui pejabat cawangannya di setiap negeri juga akan mengadakan rundingan terus dan membantu kerajaan negeri untuk menerapkan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) dan mengkaji semula aspek peraturan dan fi dikenakan bagi memastikan semua inisiatif membina infrastruktur komunikasi yang mampan tidak tergendala," menurut SKMM.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah ketika sidang media dalam talian selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet pada 3 Jun lalu juga membuat seruan yang sama.
"Menurut beliau, Kabinet memperakui perkhidmatan komunikasi sebagai keperluan asas selepas bekalan air dan elektrik.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan-kerajaan negeri supaya melakukan anjakan dasar dan peraturan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dapat disampaikan kepada seluruh rakyat dengan segera," kata SKMM.