Inisiatif 4G seluruh Sarawak dipanjangkan ke 2025

12 Feb 2022 - Utusan Borneo


KUCHING: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, liputan 100 peratus capaian Internet 4G ke seluruh Sarawak dipanjangkan tempoh pelaksanaannya ke tahun 2025 berbanding penghujung 2022 sebelum ini.

Menurutnya, sasaran kementerian ialah untuk mencapai 100 peratus capaian jalur lebar secepat mungkin.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Sarawak telah menyasarkan sehingga penghujung 2022 dengan peruntukan sebanyak RM4.09 bilion, tetapi sasaran itu tidak dapat dicapai kerana terdapat banyak kekangan.

“Maknanya kita panjangkan kepada 2025, yang penting kita akan mendapatkan liputan jalur lebar secepat mungkin kerana peruntukan sudah ada untuk membina menara 4G yang sudah dalam perancangan,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke pejabat MCMC Negeri Sarawak untuk mendengar sendiri usaha-usaha pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Julaihi berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan dana yang banyak untuk tujuan itu, namun ia banyak bergantung kepada tahap pelaksanaan di peringkat lapangan.

“Mungkin terdapat kekangan yang tidak dapat dijangkakan lagipun Sarawak adalah luas,” tegasnya lagi.

Sarawak katanya, telah mencapai 82.86 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk setakat suku keempat 2021.

“Peratusan ini akan terus meningkat dengan pembinaan 636 menara baharu 4G di bawah program JENDELA Fasa 1 yang mana kebanyakannya akan didirikan di kawasan luar bandar Sarawak bermula pada bulan ini.

“Daripada 636 menara baharu tersebut, sebanyak 299 menara JENDELA Fasa 1 telah dianugerahkan kepada penyedia perkhidmatan yang dilantik pada Januari 2022 dan dijangka beroperasi pada suku ketiga 2023. 

“Manakala baki 337 menara dijangka akan dianugerahkan pada bulan Mac 2022 dan mengambil masa setahun untuk disiapkan,” jelasnya.

Katanya lagi, menara tersebut adalah tambahan kepada 106 menara baharu 4G yang sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan dijangka beroperasi menjelang suku kedua 2023.

Selain itu, turut dilaksanakan ialah naik taraf 3,014 stesen pemancar kepada rangkaian 4G bagi menambah baik kualiti liputan telekomunikasi di Sarawak.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 2,442 stesen pemancar telah siap dinaik taraf, manakala 572 stesen pemancar dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat bermula dari Februari 2022 sehingga Mac 2022.

Dalam perkembangan lain, Julaihi berkata, inisiatif perluasan liputan rangkaian gentian optik juga sedang giat dilaksanakan di seluruh Sarawak.
 
Menurutnya, sebanyak 39,647 premis masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap dan beroperasi pada penghujung Disember 2022.

“Bagi mengatasi masalah capaian jalur lebar di kawasan terpencil pula, 523 lokasi telah dikenal pasti untuk pemasangan satelit di bawah pelan JENDELA.

“Kemudahan tersebut membolehkan penduduk setempat di setiap lokasi mengakses perkhidmatan jalur lebar secara percuma selama dua tahun.

“Kemudahan alternatif ini telah mula dilaksanakan pada Oktober 2021 dan setakat ini, sebanyak 418 lokasi telah siap pemasangan dan beroperasi, manakala baki 105 lokasi lagi dijadualkan siap menjelang Mei 2022,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi MCMC Sarawak Roslan Mohamad, Ketua Pegawai Pembangunan MCMC Nizam Arshad dan Ahli Suruhanjaya MCMC Dr Zaidi Raza.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.