Inisiatif JENDELA, Johor antara negeri mendapat manfaat besar

09 Mac 2022 - RTM


JOHOR BAHRU, 9 Mac - Johor antara negeri yang mendapat manfaat besar bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA.

Sehingga suku ke-4 2021 sahaja, liputan 4G di negeri ini telah mencapai 98.68%.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Johor, Mohamad Rizal Ahmad berkata kerajaan meletak sasaran tinggi untuk pencapaian lebih baik pada penghujung tahun ini dengan kadar kebolehsambungan lebih tinggi.
Menerusi JENDELA, liputan 4G di negeri Johor pada suku ke-4 tahun 2022 akan menjangkau 99.14%, ditambah pembinaan menara baharu berjumlah 113 dan menaik taraf menara sedia ada sebanyak 419.

"Pencapaian ataupun liputan di luar bandar kita berada dalam keadaan baik, yang terendah pun berada dalam 97%. Sebanyak 109 menara telah siap dibina dan sebanyak 129 lagi dalam proses pembinaan sehingga hujung tahun 2022," katanya kepada RTM.

Kepentingan pembangunan infra ini juga telah dimanafaat sepenuhnya oleh penduduk luar bandar seperti mana di bandar. Perkara tersebut dikongsikan penduduk Kampung Contoh di Kahang, Kluang.

"Lima tahun lepas kita dapat pembinaan menara komunikasi dan sejak itu perhubungan pelajar melalui internet bertambah baik walaupun tidak sebaik 5G," kata Mohd Nasir Md Noor.

"Dengan adanya kemudahan ini penduduk kampung dapat mengusahakan perniagaan secara dalam talian dan berkomunikasi dengan lebih dekat bersama ahli keluarga dan sahabat yang jauh," menurut Siti Nurazreen Sam.
Dalam pada itu, Mohamad Rizal berkata kerajaan persekutuan dan negeri juga tidak meminggirkan mereka yang jauh di pedalaman seperti masyarakat orang Asli.

Jelasnya, tiada siapa yang harus tertinggal bagi mendapat maklumat lebih pantas tanpa mengira masa.

"Kita ada juga projek seperti Internet Jalur Lebar 4G Tanpa Wayar (BWA), Johor kita ada lebih kurang 11 projek BWA yang kita tumpukan di perkampungan orang Asli. Sehingga suku ke-4 2021 sebanyak lapan BWA telah siap dan dinikmati penduduk kampung orang Asli," kata Mohamad Rizal.

Seperti pembinaan BWA di perkampungan orang Asli Berasau Kahang, meski hanya diduduki 19 keluarga namun ia menjadi lokasi awal perkhidmatan BWA antara 839 lokasi di seluruh negara yang diberi keutamaan.

"Sebelum ini kita memang mempunyai masalah, anak-anak terpaksa keluar untuk mencari tempat yang ada liputan internet seperti di kawasan bukit. Dengan adanya projek ini Alhamdulillah kami masyarakat orang Asli Berasau bersyukur dan berterima kasih kerana banyak manfaat kepada kami," kata Tok Batin Kampung Orang Asli Berasau, Sari Acu.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.