Isu perjanjian akses 5G dijangka selesai akhir bulan ini

06 Jun 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Tumpuan utama Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G ketika ini adalah untuk menyelesaikan isu berkaitan perjanjian akses 5G antara pihak pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bersama Digital Nasional Bhd (DNB) dan juga penyertaan ekuiti masing-masing di dalam DNB.

"Kedua-dua isu utama itu akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam kumpulan kerja yang ditubuhkan dan dijangka dapat dimuktamadkan seawal penghujung Jun 2023," kata pasukan petugas itu dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Bersama, Datuk Johan Mahmood Merican dan Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Kenyataan itu menjelaskan, keputusan segera bagi perjanjian akses 5G antara pihak penyedia perkhidmatan bersama DNB akan membolehkan pihak penyedia perkhidmatan utama termasuk Maxis menawarkan pakej-pakej perkhidmatan 5G kepada pengguna.

Seterusnya, kenyataan berkata penyertaan ekuiti oleh pihak penyedia perkhidmatan dalam DNB akan menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

"Pengguna akan terus menikmati perkhidmatan 5G sedia ada yang dilanggan secara terangkum daripada pihak penyedia perkhidmatan dalam tempoh peralihan ini seperti jaminan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

"Diharapkan dengan komitmen yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat, perkhidmatan 5G akan terus disediakan dengan meluas pada kadar yang berpatutan kepada rakyat," katanya.

Mesyuarat kedua Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia pada 1 Jun lalu bersetuju dengan struktur pasukan petugas yang merangkumi lima kumpulan kerja terdiri daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Suruhanjaya Komunikasi dan

Multimedia Malaysia (SKMM), DNB dan pihak penyedia perkhidmatan.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.