JENDELA: Pelaksanaan Fasa 1 berjaya lepasi sasaran ditetapkan - MCMC

01 Jun 2023 - Berita RTM


KUALA LUMPUR, 1 Jun- Pelaksanaan Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) (2020-2022) telah melepasi sasaran kawasan liputan perangkaian, kelajuan rangkaian mudah alih dan kesalinghubungan gentian yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata Fasa 1 JENDELA  yang selesai hari ini telah mencapai 7.74 juta premis sedia untuk disambungkan dengan  Internet gentian, melebihi 7.5 juta premis pada sasaran awal.  

Beliau berkata penyiapan Fasa 1 JENDELA juga menyaksikan 96.92 peratus kawasan berpenduduk sekarang mempunyai kelajuan liputan rangkaian mudah alih dan 4G, 116.03 megabit sesaat (Mbps).

Sasaran awal liputan rangkaian 4G ialah 96.9 peratus dan sasaran kelajuan rangkaian mudah alih ditetapkan pada  35 Mbps.  

“Langkah paling penting sekarang ialah untuk mencapai pada tahap tertentu dan mengekalkannya pada tahap itu atau lagi baik lagi dapatkan tahap yang lebih tinggi daripadanya,”  katanya kepada kepada media dan penganalisis secara dalam talian semasa pembentangan laporan penyudahan Fasa 1 JENDELA hari ini.

Mohd Ali Hanafiah berkata bagi Fasa 2, tumpuan diberi kepada perancangan dan pelaksanaan 5G untuk pengkomersilan.

"Fasa 2, walaupun ia masih dalam talian paip, apa yang kita telah bincangkan pada awalnya dengan industri adalah sebenarnya untuk 2023 sehingga 2025 kita menyasarkan untuk liputan internet kawasan berpenduduk 100%, kelajuan jalur lebar mudah alih 100Mbps secara purata dan juga premis diluluskan dengan kelajuan gigabit meningkat daripada 7.5 juta kepada 9.0 juta menjelang akhir 2023," katanya.

JENDELA Fasa 2, memberi tumpuan kepada usaha untuk mencapai sasaran 100% liputan internet, serta capaian kadar kelajuan liputan 100 Mbps menjelang 2025.

Dalam taklimat hari ini, Mohd Ali Hanafiah juga mengumumkan liputan 5G dalam kawasan berpenduduk kini mencecah 57.9 peratus dan MCMC yakin bahawa sasaran 80 peratus menjelang hujung tahun ini boleh dicapai.

Walaubagaimanapun, beliau berkata penggunaan rangkaian 5G masih rendah setakat Mac lepas dengan hanya 1.2 juta pengguna atau 3.1 peratus pengguna melanggan Internet 5G.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.