JENDELA: Pelbagai lapisan masyarakat mula terima manfaat

25 Mac 2022 - The Sun Daily


MACHANG: Kerja penaiktarafan menara komunikasi untuk memberi kemudahan liputan rangkaian jalur lebar 4G menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat di Kelantan termasuk di kawasan pedalaman.

Kerja penaiktarafan itu juga dilihat membantu memudahkan urusan harian masyarakat yang sebelum ini sering berdepan dengan kekangan untuk mendapatkan liputan malah sesetengah kawasan langsung tidak mendapat liputan.

Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhamad Haslan Mamat, 21, yang tinggal di Kampung Padang Temangan di sini berkata kesukaran untuk mendapat liputan sebelum ini turut memberi kesan kepada proses pengajiannya termasuk menghantar tugasan secara dalam talian.

Menurutnya proses menghantar tugasan yang diminta pensyarah sering tergendala memandangkan terpaksa mengambil tempoh hampir semalaman untuk menghantar setiap tugasan.

“Sejak bermula pengajian pada tahun lepas, saya hanya mengikuti sepenuhnya secara dalam talian. Sebelum ini sekiranya saya perlu menghantar tugasan yang diberikan pensyarah, saya akan melakukannya ketika waktu tengah malam dan memeriksanya selepas bangun dari tidur bagi memastikan tugasan itu diterima pensyarah.

“Namun, syukurlah selepas kerja menaik taraf menara komunikasi terutama di kawasan kampung ini, saya tidak lagi berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan liputan. Kini saya hanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja untuk menghantar setiap tugasan,” katanya ketika ditemui Bernama dan RTM di rumahnya baru-baru ini.

Seorang pengusaha kedai serbanika, Rohana Ayub, 44, dari Kampung Belukar di Kota Bharu berkata beliau kini mampu menarik nafas lega selepas liputan rangkaian dinaik taraf memandangkan perniagaannya juga menggunakan platform e-dagang.

Beliau berkata liputan rangkaian yang baik seakan menjadi nadi kepada perniagaannya untuk memudahkan urusan jual beli kepada pelanggan termasuk perniagaan tambah nilai yang sering menjadi pilihan pelanggannya.

“Sebelum ini saya berdepan dengan kekangan untuk mencetak resit tambah nilai yang dibeli pelanggan selain turut mengalami liputan yang tidak lancar ketika mengadakan sesi ‘Facebook’ Live untuk mempromosikan barangan niaga.

“Kini setiap kali melakukan transaksi termasuk membuat FB Live, ia sudah lancar. Saya berterima kasih kepada kerajaan dalam usaha menaik taraf liputan ini, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang cakna dengan masalah rakyat dari pelbagai aspek,” katanya.

Seorang peniaga cendawan, Noriha Ahmad, 50, berkata perniagaanya kini semakin berkembang selepas mendapat liputan rangkaian jalur lebar 4G terutama di kawasan Kampung Chengal berbanding liputan sebelum ini yang sangat perlahan.
 

Beliau sebelum ini terpaksa keluar ke kawasan yang mempunyai liputan lebih baik sejauh hampir dua kilometer untuk berhubung dengan pembekal secara dalam talian bagi memperoleh bahan perusahaan tanaman cendawannya.

“Dengan adanya liputan yang baik ini, ia bukan sahaja memudahkan urusan perniagaan saya malah turut melancarkan proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) anak saya Ahmad Shahrul Aiman, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Chengal,” katanya.-Bernama


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.