JENDELA diberi keutamaan untuk jaringan 4G

11 Okt 2021 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 1 menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk dilaksanakan menjelang peralihan jaringan internet 3G kepada 4G.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian mengeluarkan arahan kepada syarikat dilantik bagi memulakan kerja fizikal pembinaan menara telekomunikasi di bawah JENDELA.

 

"Matlamat kita untuk pastikan menjelang akhir tahun ini kemudahan 3G akan ditutup untuk kita bertukar kepada perkhidmatan berasaskan 4G.

"Kita akan pastikan menjelang akhir tahun depan, penyediaan kemudahan 4G perlu membabitkan 96.7 peratus liputan seluruh negara, oleh itu kementerian akan pastikan pelaksanaan program JENDELA ini akan diberi keutamaan tinggi," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (WARISAN-PAPAR) mengenai pembinaan menara telekomunikasi di kawasannya.

Sementara itu, menjawab satu lagi soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) sama ada kerajaan bercadang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyediakan alat pemancar di setiap menara baharu didirikan, Annuar berkata perkara itu diwajibkan dalam pelan JENDELA.

"Saya ingin beri peringatan mesra, kepada penyedia khidmat supaya bukan saja mereka perlu cari keuntungan, kementerian faham, tetapi kita akan pantau supaya tahap keuntungan itu mesti juga dipulangkan kembali kepada perkhidmatan luar bandar.

"Saya sudah buat beberapa semakan secara rawak, ada tempat 'telco' tak beri servis seperti diuar-uarkan, ini tak adil kepada pengguna, semua ini kita sudah periksa" katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.